KOTA BELUD  – Jarang sekali anak-anak mahu mewarisi dan meneruskan kerja-kerja seni kraftangan warisan nenek moyang.

Rata-rata, mereka memilih berhijrah ke ibu kota mencari pekerjaan yang dianggap sesuai dan serasi dengan jiwa mereka.

Sebaliknya, Said Pawel, 35, berminat meneruskan legasi keluarganya yang menghasilkan Parang Bajau - identiti penduduk Kampung Siasai Jaya, di sini.

“Bukan saya sahaja malah adik-adik lelaki, sepupu serta hampir 90 peratus anak muda di sini terlibat dengan kerja kraf ini.

“Masing-masing meneruskan tradisi keluarga yang merupakan simbolik masyarakat Bajau sejak dahulu lagi,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui di Pusat Inkubator Kraf di Kampung Pirasan, yang terletak kira-kira 10 minit daripada Pekan Kota Belud, bersempena Projek Kraf KampungKu (KKK) Kota Belud, anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Projek KKK itu, yang merupakan lokasi kedua peringkat Sabah selepas Kampung Batu Lunguyan, Keningau, bakal dirasmikan Oktober ini.

Parang Bajau identiti Kampung Siasai Jaya

Berikutan minat mendalam anak-anak muda dalam kerja-kerja kraftangan, tidak hairanlah mengapa Kampung Siasai Jaya amat terkenal dengan industri pembuatan kraf logam.

Antara yang menjadi sebutan ramai adalah seni ukiran pada sarung, hulu serta bilah parang yang menjadikannya unik dan berbeza daripada parang lain sekali gus menonjolkan identiti Parang Bajau.

Said, yang pernah memenangi pertandingan pembuatan mata parang dan merangkul gelaran ‘Jaguh Tempa 2016’ pada Festival Kraf Johor 2016, berkata beliau melibatkan diri dalam seni kraf pada usia 15 tahun dan mula serius menghasilkannya pada 2000.

"Saya belajar daripada datuk dan ayah saya. Saya mahu mempertahankan tradisi, budaya dan identiti nenek moyang sendiri...saya melihat peluang cerah dalam bidang ini kerana adanya permintaan dari dalam dan luar negara.

“Orang cakap kunjungan ke Kota Belud dianggap ‘tidak lengkap’ tanpa membeli Parang Bajau. Itulah yang menaikkan semangat saya untuk meneruskan usaha memelihara warisan kami,” katanya yang mengikuti pengajian bidang logam di Institut Latihan Perindustrian Labuan.

Bagi memastikan seni kraf itu ‘tidak lapuk ditelan zaman’, Said melakukan inovasi termasuk menghasilkan parang kembar dua yang digunakan untuk penyembelihan dan melapah.

Tempoh menghasilkan pelbagai saiz parang, pisau dan pedang bergantung kepada saiz dan motif ukiran seperti bunga matahari dan paku pakis.

Menggunakan ‘Kayu Malam’ dan ‘Kayu Akasia Bawang Bawang’ sebagai sarung parang, beliau berkata kualiti kayu mampu menyerlahkan hasil ukiran.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata pada masa sama, beliau mendapatkan bantuan, nasihat dan bimbingan Kraftangan Malaysia dalam usahanya mengembangkan kerjaya sekali gus mempopularkan Parang Bajau.

“Sebelum ini, saya hanya bekerja di rumah tetapi sekarang semuanya dibuat di pusat inkubator ini. Selain menyediakan lokasi khas untuk usahawan kraf bekerja, ia turut membantu mempromosi produk kraftangan tempatan kepada pelancong,” katanya.

Seni buat Parang Bajau adalah ‘jiwanya’

Ebin Adim, 78, pula menganggap seni pembuatan Parang Bajau adalah ‘jiwanya’ sejak berusia 18 tahun lagi.

Dinobatkan sebagai Tokoh Ulung-Pandai Besi oleh Kraftangan Malaysia pada 2012, Ebin yang ditemui di rumahnya di Kampung Siasai Kumpang di sini, selesa melakukan kerja-kerja kraf di bengkel bersebelahan rumahnya.

Selain menghasilkan pelbagai parang seperti parang menebas, parang biasa dan kerambit, beliau turut menghasilkan parang tembaga dan ‘gayang’ atau pedang ala Samurai yang sering mendapat permintaan tinggi pelanggan dari seluruh negara.

“Saya menggunakan besi ‘spring’ kereta untuk membuat mata parang dan tembaga (untuk parang tembaga).

“Selepas besi dipanaskan, ia dibentuk dengan permukaannya diratakan sebelum diukir dan diuji ketajamannya...kemudian, hulu parang dan sarungnya pula dihasilkan,” katanya yang memilih ‘Kayu Malam’ dan ‘Kayu Nangka’ untuk sarung parang.

“Ada pelanggan kami yang sukakan ukiran naga bagi sarung dan hulu parang. Ada juga yang menyukai ukiran bermotifkan bunga,” jelasnya.

Menurutnya keris, gayang atau pedang serta parang adalah sinonim dengan masyarakat Bajau dengan ia turut menjadi berian (hantaran) wajib dalam adat perkahwinan mereka.

Berpendapat kerjaya itu memerlukan kesabaran, sikap tenang serta tumpuan yang tinggi, Ebin berkata adalah penting bagi anak-anak muda mewarisi seni itu yang menjadi lambang masyarakatnya.

Dalam menggalakkan mereka menjadikan seni kraftangan sebagai kerjaya, beliau meminta beberapa anak muda kampung berkenaan membantunya menyiapkan tempahan.

Potensi besar

Menyedari industri kraftangan di Sabah berpotensi diperluaskan, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah Abdul Halim Ali berkata pihaknya sentiasa memberi galakan dan inisiatif kepada generasi muda untuk menceburi bidang itu.

Antaranya menerusi penubuhan Pusat Inkubator Kraf Kota Belud, yang dirasmikan pada Mei 2017 dan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun ini, yang menjadi platform bagi mengembangkan bakat kraftangan mereka.

“Selain tenaga pengajar yang terdiri daripada tokoh usahawan kraf dan bekas penuntut di Institut Kraf Negara, peserta juga akan diberi bimbingan dan nasihat mengenai rekaan produk baharu melalui program pembangunan produk.

"Kita tak mahu orang lihat produk kraf ini sebagai statik (tiada perubahan) dan tinggalan warisan semata-mata, sebaliknya mengalami perubahan dari aspek rekaan dan kepelbagaian produk,” katanya.

Pusat itu turut menjadi tarikan pelancongan selain pusat maklumat untuk orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai hasil kraftangan daerah berkenaan.

INFO

Projek Kraf Kampungku (KKK) Kota Belud

* Projek KKK Kota Belud, Kraftangan Malaysia memberi tumpuan kepada produk kraf yang mempunyai keunikan di setiap daerah di negeri itu termasuk memberi penjenamaan semula untuk meningkatkan pengeluaran serta galakan kepada usahawan kraf agar menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

* Ibarat platfom bagi mengangkat produk kraftangan Sabah ke tahap lebih tinggi hingga ke peringkat global projek KKK diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi pengusaha kraf dan penduduk setempat dengan mempengaruhi industri lain seperti inap desa, pelancongan, perkhidmatan serta industri hiliran.

* Selain kraf logam seperti pembuatan Parang Bajau, produk yang turut diketengahkan dalam projek itu adalah anyaman rotan dan kulit kayu yang dijalankan oleh masyarakat Kadazandusun, tenunan dastar oleh kaum Iranun dan anyaman serdang oleh kaum Bajau. - Bernama