KOTA SAMARAHAN - Tindakan pantas pekerja memadam api di sebuah pam telah menyelamatkan sebuah stesen minyak di Jalan Kuching-Kota Samarahan di sini daripada terbakar dalam satu kejadian malam tadi.

Kebakaran dipercayai berpunca selepas dua lelaki bermotosikal bertindak melontar bom petrol ke sebuah pam di stesen minyak tersebut sebelum melarikan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 12.07 malam sebelum sepasukan 11 anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah ambulans EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat Samarahan digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pekerja stesen minyak menggunakan dua unit tabung alat pemadam api (APA) mudah alih jenis debu kering. Kejadian tersebut mengakibatkan pam minyak tersebut rosak kira-kira 10 peratus.

Mengikut maklumat daripada pekerja dan pengurus stesen minyak tersebut, ada dua lelaki yang tidak dikenali telah melontar bom petrol ke pam minyak berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan motosikal,” kata jurucakap itu di sini hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudiannya membuat pemantauan memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran sebelum operasi ditamatkan selepas keadaan terkawal. -Bernama