SEGALANYA sudah terjawab, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan tidak menyambung kontrak Datuk K Rajagobal yang berakhir 31 Disember ini.

Perkhabaran ini pastinya menggembirakan peminat setia bola sepak tempatan yang dahagakan kepelbagaian corak persembahan selain mengharapkan pemilihan pemain perlulah berdasarkan reputasi semasa bukannya kenangan lampau.
Reputasi tinggi memastikan Harimau Muda A memenangi pingat emas Sukan Sea 2011 seharusnya diteruskan pengendali berusia 43 ini untuk mencipta nama di pentas lebih tinggi.


KERJAYA AWAL

Kim Swee memulakan kerjayanya sebagai pemain Melaka pada awal 90-an dan ahli pasukan Olimpik Malaysia yang digelar Barcelona 1992 di bawah jurulatih Chow Kwai Lam.

Pada 1993 Kim Swee menyertai Sarawak FA dan beraksi selama dua musim sebelum dipindahkan ke Sabah FA secara kontroversi pada akhir 1994.

Bersama Sabah beliau memenangi Piala FA 1995 dan Liga M pada 1996.

Kim Swee memperlihatkan penampilan antarabangsa menentang Kuwait pada 22 September 1994. Beliau adalah ahli skuad Malaysia bagi Sukan Asia 1994 dan juga bermain bagi Pilihan Malaysia yang berjaya seri dengan kelab Flamengo 1-1 di dalam perlawanan persahabatan pada 1995.

Keupayaan Kim Swee bukan hanya sebagai pemain tetapi berpotensi selaku jurulatih Melaka pada 2005. Pada 2009, Kim Swee mengambil alih ketua jurulatih Harimau Muda daripada Datuk K Rajagopal.

Kini kariernya selaku jurulatih terus berkembang apabila mendapat kepercayaan FAM untuk menggalas tugas sementara Harimau Malaya dan pada masa sama terus ditawarkan untuk membimbing Harimau Muda A.


DIRISIK LAWAN

Kejayaan melahirkan beberapa pemain muda antaranya Nazmi Faiz Mansor, Rozaimi Abd Rahman, Wan Zack Wan Nor dan Fadli Saas serta beberapa pemain lain pastinya menjadi tumpuan pemerhati bola sepak.

Malah berita Kim Swee dilamar Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF) seharusnya membuka mata FAM untuk memastikan khidmatnya terus dicurahkan di tanah air sendiri dan bukannya kepada pesaing yang sentiasa memerhatikan pembangunan bola sepak Malaysia.

Menyedari bakal kehilangan Kim Swee, FAM bertindak pantas dengan menawarkan kontrak baru untuk memastikan dirinya terus membimbing Harimau Muda A selain mengalas jawatan jurulatih sementara Harimau Malaya sehinggalah FAM menemui calon yang sesuai.


LANGKAH BARU

Bagi tuan punya badan, peluang dan kepercayaan FAM untuk dirinya menggalas jawatan tersebut sudah semestinya tidak akan dipersiakan.

"Ini cabaran baru kepada saya untuk mengendalikan pasukan di peringkat lebih tinggi.

"Walaupun hanya bertanggungjawab untuk tempoh masa singkat, pemilihan itu satu langkah permulaan baru dalam karier saya sebagai jurulatih.

"Terima kasih kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah kerana memberi kepercayaan terhadap saya untuk mengendalikan pasukan. Walaupun hanya seketika, ia pasti langkah baru kepada saya untuk mengharungi cabaran," katanya.


CALON LUAR

Melihat kepada senario dalaman FAM, jurulatih luar berkemungkinan bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Rajagobal, persoalannya mampukah FAM mengikat jurulatih luar yang sudah pastinya memerlukan dana tinggi.

Seandainya FAM serius memastikan perkembangan bola sepak tempatan terus maju seiring peredaran zaman, soal kewangan bukanlah satu halangan kerana percaya mereka yang bakal menjalankan tugas tersebut mempunyai sasaran tersendiri.

Bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic antara calon pilihan utama di kalangan peminat bola sepak yang mahu Harimau Malaya terus disegani.

Mesra dengan panggilan Raddy dianggap pengendali paling berjaya di rantau Asia Tenggara susulan membimbing  Singapura merangkul tiga kejuaraan Piala AFF.

Penghujung 2001, dia menjadi jurulatih skuad Kuwait yang berjaya memastikan pasukannya dinobatkan juara Asia Barat 2002 selain membawa negara itu mara ke suku akhir Sukan Asia Busan, Korea Selatan pada tahun yang sama.


PROFIL

Nama penuh: Ong Kim Swee
Tarikh lahir: 11 Disember 1970 (42 tahun)
Tempat lahir: Melaka, Malaysia
Posisi permainan Midfield: (Bersara)
Kerjaya senior*
Tahun Pasukan Kmncln (Gol)
1991-1992 Melaka
1993-1994 Sarawak
1994-1998 Sabah
Pasukan kebangsaan
1990-1991 Olympik Malaysia 8 (1)
1994-1995 Malaysia 5 (0)
Pasukan diurus
2005 Melaka
2009- 2010 Malaysia B-19
2009- Harimau Muda A
2011- Malaysia B-23