IPOH – Jarang sekali golongan lelaki bersedia menjadikan jururawat sebagai satu profesion namun hakikatnya golongan itu sangat diperlukan untuk berkhidmat dalam bidang itu.

Kolej Perubatan Diraja Perak, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), mempunyai 246 pelajar diploma kejururawatan dan 34 ‘jejaka’ menyahut cabaran dengan menjadikan ia sebagai satu kerjaya.

Pelajar tahun dua, Leo Mixsbobic, 21, berkata, pengalamannya sebagai sukarelawan selama beberapa tahun menjadi pencetus inspirasi kepadanya untuk menyambung pengajian dalam bidang itu.

“Walaupun lelaki menjadi pelajar minoriti dalam kelas, ia tidak menjadi penghalang untuk terus berkhidmat nanti. Kerjaya ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental terutama ketika menguruskan pesakit.

“Walaupun sebagai pelajar praktikal, saya sendiri tidak terlepas berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit. Tetapi, ia lebih berharga apabila mendapat penghargaan walaupun dengan ucapan terima kasih,” katanya.

Bagi Paramjit Singh, 19, bidang kejururawatan ini mempunyai skop yang luas serta mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan pekerjaan.

“Permintaan jururawat sangat tinggi terutama di negara timur tengah yang menawarkan gaji yang lumayan. Saya sendiri mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang yang sama.

“Hari Jururawat yang disambut 12 Mei merupakan penghargaan terhadap mereka dan ia perlu disambut dengan meriah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah UniKL, Rohaida Mohd Harun berkata, walaupun ada peningkatan pelajar mengikuti bidang kejururawatan, penambahan pelajar lelaki adalah tidak ketara.

“Hanya 13 peratus pelajar lelaki mengikuti bidang pengajian ini. Kerjaya ini memerlukan jururawat lelaki. Mentaliti negatif terhadap kerjaya ini perlu diubah.

“Skop kejururawatan tidak terhad hanya bekerja di wad sebaliknya, boleh terlibat dalam pendidikan, perubatan industri, undang-undang perubatan dan lain-lain,” katanya.