TAIPING – Taman Botani Perak yang menelan kos RM50 juta bakal dibangunkan di sebuah kawasan Taman Tasik Taiping tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, satu sesi pembentangan Pelan Pembangunan Taman Botani Perak berjaya dilaksanakan pada 23 Mac lalu yang dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Menurutnya, pihak MPT bersama-sama dengan Jabatan Landskap Negara akan merealisasikan pelaksanaan projek Taman Botani Perak di kawasan seluas 22.6 hektar.

“Projek terbabit akan melibatkan kos berjumlah RM10 juta bagi fasa pertama dan ia akan melibatkan beberapa fasa dengan kos keseluruhan RM50 juta.

“Bagi fasa pertama ia akan bermula pertengahan tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun secara berperingkat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam perkembangan sama, Abd Rahim berkata, projek tersebut akan berterusan dilaksanakan mengikut fasa yang ditetapkan.

Katanya, di Taman Botani Perak, pelbagai jenis pokok akan ditanam termasuklah pokok-pokok yang mempunyai sejarah dengan nama-nama tempat di Perak dan negeri lain seperti pokok ipoh, kamunting, kulim dan sebagainya.

“Pada masa ini, pihak MPT sedang dalam proses pengeluaran tender dan pelantikan konsultan untuk penyediaan technical drawing.

“Malah satu majlis pecah tanah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak,” katanya.