BAGAN SERAI - Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan wakil beberapa pertubuhan alam sekitar, termasuk Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) menggesa kerajaan negeri lebih bersungguh-sungguh mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menceroboh dan meneroka haram rizab Kolam Bukit Merah di sini, dengan segera.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, SAM mendapati sebahagian rizab Kolam Bukit Merah diceroboh dan diterokai ‘haram’ dengan tanaman kelapa sawit sejak lebih 15 tahun lalu dan keadaannya kini semakin membimbangkan.

Menurutnya, kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram rizab Kolam Bukit Merah memberi impak kepada alam sekeliling di sini dan boleh membawa kepada kemerosotan paras air Kolam Bukit Merah, sekali gus menjejaskan sistem pengairan jelapang padi Kerian dianggarkan seluas 24,000 hektar.

“Selain itu, bekalan air Kolam Bukit Merah turut digunakan bagi tujuan domestik dan industri melibatkan lebih 200,000 penduduk Kerian dan sebahagian Larut, Matang dan Selama.

“CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) sebelum ini turut mendedahkan kegiatan pencurian dari tali air dan membantah penggunaan air Kolam Bukit Merah bagi projek penternakan ikan arowana.

“Rizab Kolam Bukit Merah tidak hanya penting sebagai punca bekalan air ke Kolam Bukit Merah, malah berperanan mengawal banjir kerana sebahagian besar kawasan rizab itu adalah tanah lembap dan pamah yang berfungsi sebagai kawasan limpahan banjir,” katanya kepada media sewaktu mengadakan tinjauan di kawasan rizab Kolam Bukit Merah, Pondok Tanjung di sini, kelmarin.

Meor Razak berkata, pada November 2011, pihak berkuasa pernah mengeluarkan kenyataan media menjelaskan isu pencerobohan rizab Kolam Bukit Merah setelah diketengahkan SAM.

Beliau berkata, ketika itu terdapat perbezaan penjelasan antara pegawai daerah Kerian dengan jurutera daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian.

“Mengikut penjelasan Pegawai Daerah Kerian sebelum ini, kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian akan melaksanakan projek Rancangan Tanah Berkelompok di Pondok Tanjung berhampiran Kolam Bukit Merah.

“Sebaliknya, jurutera daerah JPS dalam penjelasan bertulis menyatakan pihaknya tidak menyokong dan membenarkan sebarang pembangunan di rizab Kolam Bukit Merah kerana hendak memelihara ekosistem kolam itu.

“Pada masa sama, pihak JPS turut menjelaskan jabatan itu tidak mempunyai kuasa menghalang sekiranya rizab Kolam Bukit Merah diceroboh dan diteroka haram meskipun bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan dan operasi tasik itu,” katanya.

Meor Razak berkata, berdasarkan pelan syif Jabatan Ukur dan Pemetaan Negara No 377; (GN 3319 of 1914, GN 1453 of 1919 dan GN 8279 of 1929 excision), kawasan itu diwartakan sebagai rizab Kolam Bukit Merah.

Menurutnya, kegiatan mengeksploitasi rizab Kolam Bukit Merah jelas tidak mematuhi Garis Panduan Perancangan, Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

“Demi kepentingan alam sekitar dan bekalan air terjamin, kami menggesa pengeksploitasian dan penukargunaan tanah di kawasan rizab Kolam Bukit Merah perlu dihentikan serta-merta.

“Kawasan rizab diteroka perlu ditanam dengan spesies pokok hutan bersesuaian bagi membaik pulih persekitaran di situ,” katanya.