PARIT - Desas-desus kononnya Umno Parit tidak bersetuju dengan beberapa individu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hanyalah khabar angin.

Bagi Pemuda Umno Bahagian Parit, pihaknya tidak mempunyai masalah terhadap senarai calon yang bakal bertanding di kawasan itu untuk PRU13 nanti.

Ketuanya, Khairul Shahril Mohamed berkata, masalah mengenai calon yang akan diletakkan di kawasan itu tidak timbul asalkan mempunyai kriteria ditetapkan pemimpin tertinggi.

Menurutnya, calon haruslah yang boleh menang atau winnable candidate dikenal pasti oleh peringkat pimpinan tertinggi.

“Kami tidak kisah siapa sahaja yang menjadi calon asalkan mempunyai kriteria yang ditetapkan dan boleh menang di kawasan ini.

“Saya percaya peringkat pimpinan tertinggi telah mengambil pandangan Umno Bahagian sendiri mengenai calon PRU13 nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kata beliau, isu calon bukan masalah kerana pengundi di kawasan Parit hanya mahukan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Kami percaya calon yang bakal mewakili parti ini nanti adalah yang terbaik dan boleh memberi kemenangan kepada BN.

“Isu calon daripada Pemuda atau calon lama tidak timbul kerana pengundi kawasan ini mahu BN kekal sebagai wakil rakyat, mereka,” katanya.

Sebelum ini ada desas-desus yang mengatakan kerusi Parlimen Parit dan kerusi Dun di bawahnya  bakal menampilkan calon baru pada PRU13 nanti termasuk daripada kepimpinan tertinggi Pemuda Umno namun ada pihak yang tidak menyetujuinya.

Katanya, senario sekarang juga dilihat sudah kembali seperti dahulu iaitu masyarakat memilih parti dan bukannya calon.

“Sepatutnya isu berkenaan tidak menjadi pertikaian kerana pihak tertinggi pastinya membuat pilihan terbaik untuk meletakkan calon yang sesuai,” katanya.