GERIK - Seorang pelajar lelaki maut sementara adiknya cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 3.8 Jalan Baru Tanjung Kala, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa Muhammad Azmeer Azrin Mohd Afindi, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sementara adiknya, Muhammad Azroy, 12, yang membonceng motosikal cedera di kepala.

Kedua-duanya bersama seorang lagi rakan yang membonceng motosikal sama dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat Jumaat.

Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, insiden itu turut menyebabkan empat yang lain, masing-masing dua penunggang motosikal dan dua pembonceng cedera.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketiga tiga motosikal terbabit keluar dari Masjid Tanjung Kala menuju ke arah sama ke simpang Gerik-Kupang.

"Tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 14 tahun membelok ke arah simpang kanan ke Restoran Tiang Besar Tanjung Kala.

"Motosikal ditunggang mangsa yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian kanan motosikal terbabit," katanya.

Beliau berkata, pelanggaran menyebabkan mangsa bersama adik dan rakan dikenali Haikal terpelanting ke bahagian jalan.

Katanya, sebuah lagi motosikal dinaiki dua remaja masing-masing berusia 14 tahun yang berada di laluan sama turut melanggar motosikal mangsa sebelum kedua-duanya tercampak ke jalan.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

"Mereka yang cedera turut dirawat di hospital sama setelah mengalami patah bahu dan luka di tangan," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu tidak memakai topi keledar.

Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.