TAIPING - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Taiping berpuas hati dengan hasil pemeriksaan yang dilakukan di 17 bazar Ramadan sekitar daerah Larut Matang dan Selama.

Ketua Cawangannya, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, pemeriksaan yang dijalankan di bazar Ramadan sehingga semalam mendapati sebahagian besar peniaga ada mempamerkan tanda harga pada makanan yang dijual.

Menurutnya, itu yang pihaknya mahukan supaya orang ramai mengetahui harga makanan yang mereka beli dan tidak timbul isu harga mahal.

“Dalam masa yang sama, pemeriksaan turut dilakukan terhadap alat timbang yang peniaga gunakan dan majoritinya masih sah,” katanya kepada Sinar Harian, sebaik melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Batu 2 ½ Simpang, di sini semalam.

Tambah Mohamad Kamarol, bagaimanapun hanya terdapat antara dua hingga empat peniaga sahaja didapati gagal mempamerkan tanda harga pada makanan yang mereka jual.

“Untuk kesalahan tersebut, hanya amaran serta teguran diberikan kepada peniaga terbabit agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.

“Kita berpuas hati kerana tidak ada kes yang dihasilkan dan tidak ada sebarang kompaun yang dikenakan.

“Kita berharap semua peniaga dapat mematuhi peraturan ditetapkan iaitu sentiasa mempamer tanda harga pada makanan serta minuman yang dijual,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Kamarol berkata, penghasilan kes terkini pada tahun 2017 adalah sebanyak 70 kes.

“Namun sepanjang tahun 2016, kita berjaya mengesan sebanyak 194 kes atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Kamarol berkata, kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 menunjukkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 25 kes.

“Manakala Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 juga telah mencatatkan sebanyak 18 kes tahun ini,” katanya.

Jelasnya, selain itu, bagi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pula mencatatkan sebanyak 13 kes tahun 2017.

“Kesalahan lain yang direkodkan adalah melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Sewa Beli 1967, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Akta Hakcipta 1987,” katanya.

Mohamad Kamarol berkata, pihaknya juga berjaya melakukan pemeriksaan terhadap 1,388 premis perniagaan  di kawasan bandar dan luar bandar.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM 6,400 kompaun telah dikeluarkan manakala nilai rampasan pula membabitkan RM 26, 951.40,” katanya.