IPOH – Kebakaran hutan di Pusat Rekreasi Gunung Lang yang masuk hari ketiga nyaris menyebabkan seorang warga emas maut apabila berlaku runtuhan batu kecil dalam sebuah tokong di Gua Bahagia Perak di sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita berusia 60-an terbabit sedang bersembahyang di dalam tokong terbabit bersendirian dan dia tidak menyedari bahagian bumbung rumah ibadat tersebut terjejas akibat kebakaran yang merebak sehingga ke kawasan Padang Tembak berkenaan.

Bagaimanapun, wanita terbabit berjaya diselamatkan dengan kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membuat kawalan di sepanjang gunung setinggi 250 meter itu sejak Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahaya Madis berkata, kebakaran tersebut berpunca daripada perbuatan khianat dilakukan individu yang membakar sampah di kaki gunung terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati individu terbabit membakar gugusan sampah kecil di bahagian belakang sebelum api merebak seluas 1.6 hektar.

“Kita percaya kebakaran berlaku lebih awal namun, pihak kita terkilan apabila individu terbabit tidak membuat panggilan kecemasan awal sehinggalah seorang pegawai tertinggi kerajaan membuat panggilan kira-kira jam 3.45 petang.

“Sebaik sahaja anggota Bomba tiba di lokasi kejadian, kebakaran itu telah merebak ke puncak bukit dan menyebabkan pusat rekreasi berkenaan ditutup kepada pengunjung buat sementara waktu,” katanya yang ditemui ketika meninjau perkembangan operasi pemadaman di Pusat Rekreasi Gunung Lang semalam.

Yahaya berkata, kebakaran berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya daripada merebak sehingga ke kawasan Padang Tembak apabila 14 anggotanya ditempatkan untuk melakukan ‘fire break’ di puncak gunung terbabit.

“Kita yakin operasi pemadaman ini dijangka berakhir dalam masa terdekat ini dan pemantauan akan dibuat secara berterusan.

"Operasi dihentikan pada jam 7 petang dan akan disambung esok bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pusat rekreasi itu tidak terjejas dengan kejadian tersebut dan masih dibuka kepada orang ramai namun perkhidmatan bot ditutup sehingga operasi pemadaman berakhir.