GOPENG - Kampung Karyawan Malim di Lembah Gunung Tempurung akan menjadi satu lagi ikon pelancongan di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkampungan yang diwujudkan di kawasan seluas 8 hektar itu adalah yang pertama di negeri ini dan merupakan pusat tumpuan aktiviti seni karyawan berkumpul.

Menurutnya, perkembangan seni dan budaya yang ada di perkampungan itu nanti bakal menjadi pelengkap kepada produk pelancongan dalam daerah Kampar yang dikenali sebagai city of colour.

“Ini adalah hasil perbincangan melalui pendekatan Perak Aman Jaya bagi merealisasikan Kampar sebagai city of colour iaitu bandar yang membangun dengan pelbagai jenis kegiatan alamnya termasuklah seni.

“Dengan tarikan dan keunikan perkampungan ini, kita harap daerah Kampar terus menjadi rujukan pelancong terutama mereka yang ingin mengenali aktiviti seni dan susur budaya Perak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Karyawan Malim di sini, semalam.

Kampung Karyawan Malim diasaskan oleh Pengerusi Yayasan Kampung Karyawan Malim, Malim Ghozali PK dan pembangunannya dimulakan sejak tiga tahun lalu dengan modal awal sebanyak RM4 juta.

Selain menjadi pusat aktiviti seni, Kampung Karyawan Malim juga menampilkan chalet hasil binaan semula daripada rumah tradisional lama Perak yang telah usang dan dirobohkan.

Katanya, keunikan rumah-rumah lama itu telah menarik minat produksi perfileman untuk dijadikan lokasi penggambaran.

“Saya dimaklumkan sudah ada beberapa permintaan untuk mereka datang ke kawasan ini jalankan penggambaran. Ia satu perkembangan yang baik kerana Kampung Karyawan Malim dapat menarik perhatian industri perfileman,” katanya.