TELUK INTAN –  Penduduk di beberapa kawasan sekitar Hilir Perak terpaksa berdepan dengan banjir setelah hujan lebat tanpa henti selama enam jam menyebabkan paras air Sungai Perak meningkat.

Ketika dilaporkan, hujan masih lebat dengan paras air dianggarkan setinggi 0.4 meter sehingga jam 8 malam, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sekitar jam 8 pagi hingga 4 petang semalam, sebuah pusat pemindahan banjir di kawasan pentadbiran Changkat Jong telah dibuka.

Menurutnya, seramai 181 penduduk melibatkan 51 keluarga ditempatkan di Dewan orang ramai Kampung Air Hitam selepas keadaan air di kawasan rumah mereka berada di tahap membimbangkan.

“Mereka terdiri daripada 46 lelaki, 58 perempuan, 43 kanak-kanak lelaki dan 34 kanak-kanak perempuan.

“Di Mukim Labu Kubong sehingga maklumat diterima, tiada perpindahan dilaporkan yang mana kawasan ini melibatkan sawah padi dan beberapa rumah,” katanya.

Zainol Fadzi berkata, bagi Mukim Sungai Manik, air semakin surut di kawasan Parit 2A Rezab Kayu Api namun, penduduk dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan jika keadaan bertambah teruk arahan untuk berpindah akan dikeluarkan.

Manakala, di kawasan Chenderong Balai pula, sebanyak 10 rumah dilanda banjir namun, penduduk enggan berpindah kerana paras air masih rendah.

"Barangan keperluan harian turut disumbangkan kepada mereka untuk digunakan ketika kecemasan," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, sembilan rumah di Kampung Changkat Rambai, Chikus dinaiki air akibat ban pecah dan ditambah dengan hujan lebat.

“Difahamkan kesemua penduduk tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan dan mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara mara yang terletak di kawasan tinggi.

“Saya juga meminta pihak polis melakukan rondaan dan pemantauan di rumah penduduk yang ditinggalkan,” jelasnya.