IPOH - Sebanyak 315 kediaman dan premis perniagaan di Taman Kledang Permai dan Taman Arkid, Menglembu di sini, terjejas teruk akibat lumpur dipercayai akibat limpahan air kolam tadahan dari tapak pembinaan sebuah kolej swasta di kawasan berhampiran, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, sebahagian besar penduduk terbabit kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan barangan mereka disebabkan arus air bercampur lumpur yang kuat masuk ke dalam rumah mereka.

Penduduk mendakwa, kejadian dipercayai berpunca apabila dua kolam tadahan air semula jadi yang berada  di kawasan bukit berhampiran pecah dan melimpah ekoran hujan lebat yang berlaku sejak tengah malam semalam.

Akibatnya, air daripada bukit tersebut mengalir deras dari atas bukit bercampur selut serta menyebabkan jalan raya di bahagian bawah pecah sehingga mengakibatkan banjir lumpur.

Adun Menglembu, Lim Pek Har mendakwa, kejadian banjir lumpur berlaku akibat proses pembinaan sebuah kolej swasta yang dijalankan berhampiran kawasan berkenaan.

Menurutnya, tanah tersebut runtuh kemudian memasuki ke dalam kolam tadahan  berhampiran dan menyebabkan ia melimpah dan pecah.

“Air dan campuran lumpur tersebut melimpah ke jalan raya yang mana jarak antara kolam dan jalan lebih kurang 200 meter,” katanya di lokasi kejadian.

Ketua Biro Pengaduan MCA dan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin pula meminta supaya penduduk bertenang dan membuat laporan polis berhubung kerugian yang dialami.

“Kerajaan negeri mempunyai jawatankuasa bencana, oleh itu penduduk yang layak akan diberikan bantuan,” katanya.

Seorang penduduk, S Puvanewaran, 25 dari Taman Arkid berkata, kejadian banjir lumpur itu adalah yang terburuk berlaku sejak 14 tahun menetap di kawasan tersebut.

“Nasib baik saya tidak dihanyutkan banjir lumpur kerana ketika kejadian saya tidur berseorangan di tingkat bawah manakala adik beradik lain tidur di bilik atas.

“Sewaktu saya sedar, jam menunjukkan 2.30 pagi dan ketika pintu hadapan rumah dibuka air bercampur lumpur masuk ke dalam rumah sehingga menyebabkan semua perkakas elektrik di tingkat bawah rosak teruk. Malah, kereta kancil milik kakak saya yang diparkir di rumah bersebelahan juga rosak dalam kejadian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata beliau meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama syarikat pemaju terbabit mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Saya minta pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya dan penduduk diharap tidak melakukan sebarang kekecohan,” katanya.

“Penduduk yang terlibat boleh membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana kerugian yang mereka alami adalah berbeza,” katanya.

MBI arah henti kerja

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, selepas perbincangan diadakan bersama pemaju, notis pemberhentian kerja secara lisan sudah dicapai.

Menurutnya, pemaju tidak menjaga dua kolam tadahan air tersebut sehingga menyebabkan ia pecah dan air yang melimpah bercampur dengan tanah mengakibatkan banjir lumpur.

“Kerja pembersihan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pihak pemaju menyambung kerja pembinaan,” katanya.

Tambahnya, pemaju akan bekerjasama dengan MBI untuk membersihkan kawasan tersebut dengan segera.

Baju team Sukma rosak

Pemilik kedai jahit, M Thangavelu, 42, berkata pakaian seni mempertahankan diri silambam yang ditempah pasukan Perak musnah dalam kejadian banjir lumpur itu.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana beberapa pakaian yang sama ditempah negeri lain sudah siap.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah di Desa Pengkalan Indah dan hanya dimaklumkan oleh rakan pada jam 3 pagi berhubung kejadian itu.

“Selepas menerima panggilan tersebut, saya bergegas ke rumah yang dijadikan kedai jahit saya dan melihat kawasan tersebut dilitupi selut.

“Malah, kain yang digunakan untuk menjahit pakaian silambam serta beberapa peralatan lain turut musnah,” katanya.

Menurutnya, pernah berlaku insiden sama kira-kira lapan tahun lalu, namun ia tidak seburuk semalam.

Kenduri kahwin diteruskan

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Leong Hon Weng, 36, berkata, upacara perkahwinan yang akan dilangsungkan Sabtu ini tetap diteruskan.

Dia yang sudah lima tahun tinggal di kawasan tersebut berkata tidak menyangka kejadian itu berlaku pada hari perkahwinannya.

“Walaupun terpaksa melangsungkan perkahwinan dalam keadaan kurang selesa majlis perlu diteruskan memandangkan jemputan sudah dihantar kepada tetamu.

“Mungkin pengalaman berkahwin ‘dalam lumpur’ ini akan menjadi salah satu kenangan dalam majlis kami,” katanya.

Peniagaan terjejas

Pengusaha bengkel mencetak baju-T, Khairul Zainon, 37, berkata dia menyedari perkara itu berlaku pada jam 2.30 pagi semalam.

“Pada mula hanya hujan lebat yang kedengaran tetapi tiba-tiba bunyi seperti ‘benda pecah’ menyebabkan saya segera turun ke bawah kedai untuk melihat apa yang berlaku.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat jalan raya di hadapan kedai pecah dan aliran air bercampur lumpur mengalir deras melintasi deretan rumah kedai di kawasan ini,” katanya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

Khairul berkata, akibatnya, dia terpaksa menutup kedai untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan setakat ini jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan kerana masih mengira jumlah peralatan yang rosak.