KUALA LIPIS - Bersihkan bijih besi sebelum dibawa keluar dari kawasan lombong merupakan antara syarat ditetapkan kerajaan negeri bagi mengelakkan debu atau habuk bijih mengotori jalan raya dan perkampungan yang dilalui.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri Pahang Datuk Mohd Soffi Abd Razak berkata keputusan itu dibuat kerajaan negeri pada mesyuarat mingguan Exco baru-baru ini.  

Katanya antara syarat lain adalah air kotor, keladak, habuk dan debu hasil daripada pembersihan bijih besi itu pula ditegah daripada disalurkan ke dalam sungai bagi mengelakkan pencemaran dengan pelombong perlu membina takungan.

"Kita akan arahkan lombong ditutup serta-merta jika ia melanggar syarat terutamanya menyusahkan orang ramai dan pihak berkuasa, walaupun lombong terbabit memberikan hasil dan cukai yang tinggi," katanya.   

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Jerkoh Benta di sini semalam.

Mohd Soffi berkata syarat lain ialah perlu melalui jalan alternatif serta wang deposit lebih tinggi dikenakan ke atas pelombong yang melalui jalan negeri untuk membawa keluar bijih besi.

Katanya sebuah lombong bijih masing-masing di Rompin dan Jerantut telah ditutup baru-baru ini kerana melanggar syarat yang ditetapkan kerajaan negeri, antaranya kerana menyalurkan sisa ke sungai yang telah menyebabkan pencemaran. - Bernama