KUANTAN - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan yang berfungsi sebagai pusat sehenti di Terminal Makmur, di sini, akan memulakan operasinya hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob berkata, orang ramai khususnya warga Kuantan boleh mengunjungi pusat itu bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Menurutnya, UTC bernilai RM25 juta itu akan memenuhi keperluan orang ramai untuk menyelesaikan urusan berkaitan agensi kerajaan dan perbankan dengan lebih mudah serta cepat.

“Sebanyak 76 jabatan kerajaan dan institusi perbankan serta 55 premis perniagaan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga jam 10 malam. Ia dibuka setiap hari termasuk cuti hujung minggu.

“UTC ini akan menjadi pusat sehenti untuk penduduk bandar mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan swasta,” katanya, di sini, semalam.

Zulkiflli berkata, antara agensi kerajaan terbabit ialah PDRM, JPJ, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta MPK sendiri.

“Selain itu, institusi perbankan dan kaunter bayaran bil elektrik, air dan telefon juga akan mempunyai kios di situ. Kuantan adalah UTC keempat selepas dilaksanakan di Melaka, Kuala Lumpur dan Perak.

“Saya harap orang ramai akan memanfaatkan pusat itu kerana kedudukannya di pusat bandar,” katanya.