KUANTAN - Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengkaji semula sistem perparitan di sekitar bandar Kuantan kerana ia didapati menjadi faktor utama berlakunya banjir kilat di sini hari ini.

Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kebanyakan sistem perparitan yang sedia ada didapati terlalu sempit dan sudah usang menyebabkan ia tidak dapat menampung jumlah air hujan sehingga ia melimpah dan mengakibatkan banjir kilat di sekitar pusat bandar.

"Ketika saya terbang tadi (dengan helikopter) buat tinjauan, ia (banjir kilat) bukan disebabkan oleh paras air sungai yang meningkat atau sistem perparitan yang tersumbat.

"Tapi saya perhatikan banyak parit dan longkang yang terlampau sempit menyebabkan air tidak boleh nak keluar. Saya harap kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran dapat kaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan dan perumahan di bandar Kuantan ini," katanya.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas melawat 302 orang mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Galing di sini hari ini.

Selain itu, Tengku Abdullah juga berharap agar orang ramai dapat memberi sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di sekitar bandar ini.

Langkah itu, titah baginda ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa yang terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang akibat banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam tempoh beberapa tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhamad Safian Ismail yang turut hadir berkata setakat 5 petang, seramai 594 mangsa banjir di negeri ini telah ditempatkan di enam buah pusat pemindahan iaitu empat di Kuantan dan masing-masing sebuah di Pekan dan Rompin.

Di Kuantan, selain SK Galing,  seramai 77 orang mangsa banjir ditempatkan di SK Cenderawasih, Sekolah Menengah Pandan (93 orang) dan Balai Raya Tanjung Lumpur (20 orang).

Di Pekan, seramai 66 orang mangsa ditempatkan ke SK Sungai Miang dan di daerah Rompin 36 mangsa ditempatkan di Balai Raya Lintang. - Bernama