KUANTAN – Seorang Suri rumah lega setelah terselamat daripada terus menjadi mangsa bertuah sindiket gores dan menang yang telah menukar modus operandinya kepada ‘buka dan menang’ dalam satu kejadian di salah sebuah pusat membeli-belah dekat sini, 10 September lepas.

Mangsa hanya ingin dikenali sebagai Linda, 38, berkata, dia hampir kehilangan wang sebanyak RM8,900 hasil daripada pemberian kupon oleh seorang lelaki Cina yang memperkenalkan diri sebagai Jimmy hingga membolehkannya memperoleh sama ada kereta mewah, pakej pelancongan atau wang.

“Kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat membeli-belah kira-kira jam 4.30 petang apabila saya didatangi lelaki terbabit dan meminta saya membuka satu kupon.

" Walaupun sudah berulang kali menolak tetapi dia mendesak secara keterlaluan dan dia juga sanggup menyerahkan kad pengenalannya agar saya terus mempercayai kupon yang hendak diberikan, akhirnya saya akur.

“Apabila selesai membukanya, pada kupon tersebut terdapat warna kelabu membolehkan saya memenangi sama ada kereta jenis Toyota Camry atau beberapa jenama kereta mewah yang lain tetapi saya perlu ke pejabatnya untuk menentukan jenis kereta yang bakal dimiliki,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Linda, sebelum ini sudah mempunyai pengalaman ditipu dengan kupon gores dan menang yang datang dari rumah ke rumah menyebabkan dia sudah dapat mengagak perkara yang sama berlaku ke atas dirinya.

“Walaupun saya sudah dapat mengagak sesuatu yang tidak betul tetapi lelaki tersebut seakan memaksa dan memarahi saya sekiranya tidak pergi menuntut hadiah di pejabatnya.

“Disebabkan tiada sebarang bayaran dikenakan dan lelaki tersebut sanggup menemani saya ke pejabatnya terletak di Air Putih, sekali lagi saya mengikutnya.

“Setibanya di sana, saya diminta mengisi borang mengenai butir peribadi dan terus terkejut apabila diminta membayar terlebih dahulu wang sejumlah RM8,900 sebelum memberitahu kereta jenis apa yang akan dimenangi,” katanya.

Katanya, keadaan pada ketika itu sedikit tegang memandangkan dia sudah dijanjikan tidak mengeluarkan sebarang bayaran.

“Di dalam pejabat tersebut dipenuhi dengan lelaki berbadan tegap, sedikit garang dan pekerja yang menyuruh saya membayar wang tersebut turut memarahi dan memaki hamun disebabkan keengganan saya membayar.

“Kebetulan di dalam beg tangan saya baru sahaja mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM400 jadi demi menjaga keselamatan saya terus sahaja bersetuju untuk membayar pendahuluan sebanyak mana yang dimiliki.

“Mereka menerima wang tersebut dan mengarahkan untuk saya kembali ke premis itu keesokan harinya dengan membawa baki bayaran yang perlu dijelaskan dan mengarahkan untuk memakai pakaian cantik kerana mendakwa beberapa orang wartawan akan hadir untuk mengambil gambar saya bersama kereta yang kini sudah tersedia untuk diserahkan,” katanya.

Dia yang tidak mahu terus menjadi mangsa penipuan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang untuk mendapatkan semula wangnya.

“Berkat usaha saya dan bantuan daripada pihak polis dan beberapa pegawai KPDNKK, belum sempat saya menunggu giliran untuk ke mahkamah tribunal, dalam masa tidak sampai tiga hari syarikat tersebut sudi membayar semula namun saya meminta agar penyerahan tersebut dilakukan di Balai Polis Air Putih bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku.

“Walaupun nilainya RM400 dan dianggap kecil bagi sesetengah orang, namun bagi saya tidak berbaloi dengan membuka kupon yang hanya menunjukkan pelbagai warna perlu membayar sehingga beratus ringgit.

“Jadi  saya harap orang ramai perlu berhati-hati dengan sebarang kupon meragukan, ini kerana kemungkinan besar akan terus terpedaya dengan kata-kata pihak terbabit yang mengugut untuk kita menuruti kehendak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya ingin orang ramai menjadikan peristiwa dilaluinya sebagai satu panduan untuk tidak terperangkap memandangkan rata-rata mengeluarkan bayaran berikutan memikirkan soal keselamatan yang mungkin terjejas.