KUANTAN – Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan lebih 37,000 hadiah bagi majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) tahun ini yang merupakan usaha berterusan dalam menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat negara ini.

Ketua Seksyen Pentadbiran Kredit BSN Pahang, Shaiful Bahari Ibrahim, dengan itu BSN masih mengekalkan kereta-kereta mewah seperti Mercedes Benz E200 CGI, Mercedes Benz C200EL, BMW 520i F10 dan BMW 320i sebagi hadiah utama.

“Terdapat juga hadiah lain termasuk jongkong emas, motorsikal Modenas GT128, pelbagai jenis gajet elektronik, SSP dan pelbagai lagi hadiah menarik ditawarkan.

“Bagi hadiah bulan ini, BSN memperuntukkan kereta BMW 320i untuk pemenang tempat pertama, lima jongkong emas bagi pemenang tempat kedua dan 70 unit iPad untuk pemenang tempat ketiga.

“Manakala bagi Cabutan SSP Ekstra menawarkan lebih 500 hadiah seperti Tablet Samsung, Kamera DSLR, TV LED dan baucar membeli-belah yang dilakukan sebanyak empat kali, pada bulan Mac, Jun, September dan Disember sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar semalam..

Menurutnya, semua pemegang-pemegang SSP berpeluang menerima hadiah-hadiah eksklusif disediakan sepanjang tahun.

“Dengan insentif seperti ini akan menjadi dorongan kepada mereka agar mula menyimpan dan terus menambah simpanan di dalam SSP.

“BSN telah membuktikan tiada amaun atau jumlah tertentu yang diperlukan untuk seseorang memenangi hadiah ditawarkan dan turut menawarkan sandaran sijil SSP sehingga 95 peratus daripada nilai simpanan,” katanya.

Sementara itu, katanya, BSN turut mengekalkan cabutan SSP ‘High Savers’ pada Disember depan sebagai menghargai pelanggan BSN yang setia dan terus menyimpan dengan SSP.

“Hadiah-hadiah lumayan dan eksklusif seperti kereta mewah Audi A5 2.0 dan SSP bernilai RM5,000 hingga RM50,000 bakal menanti untuk dimenangi oleh penyimpan yang memenuhi kriteria.

“Pembelian sijil-sijil bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter-kaunter cawangan BSN seluruh negara, mesin ATM BSN, mesin deposit tunai BSN, Unit Bank Bergerak BSN di lokasi-lokasi terpilih dan perkhidmatan perbankan pesanan ringkas (BSN:SMS).

“Pembelian SSP juga boleh dilakukan di ejen perbankan tanpa cawangan (PTC) BSN yang terdapat di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, orang ramai berpeluang menyemak keputusan SSP di akhbar utama, SMS atau di dalam laman web BSN, http://www.mybsn.com.mys etelah proses memilih pemenang dibuat di hadapan wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan dan disahkan oleh wakil daripada Audit Negara.