MUADZAM SHAH - Pendidikan tentang pengurusan majlis atau program bukan suatu pengetahuan yang biasa sebaliknya menjadi satu kelebihan atau bonus bagi pelajar institut pengajian tinggi (IPT) apabila memasuki alam pekerjaan.

Sebahagian pelajar kebiasaannya lebih fokus kepada pengajian mereka semata dan tidak mengambil berat tentang aktiviti sebegini yang akhirnya menjadikan pengalaman pembelajaran di IPT itu tidak diperoleh sepenuhnya.

Pensyarah, Suriyati Tajrud-din berkata, objektif penganjuran program secara kasarnya telah tercapai apabila pelajar yang terdiri daripada 34 orang itu berjaya menguruskan dari awal hingga selesai tanpa penglibatan tenaga pengajar.

“Apa yang diterapkan dan ditekan melalui penganjuran program ini ialah bukan saiz program atau majlis yang menjadi ukuran sebaliknya bagaimana cara ia diuruskan. Jika majlis atau program itu bersaiz besar maka ia merupakan bonus.

“Kejayaan penganjuran juga dipengaruhi kerjasama antara komiti yang selalunya menjadi cabaran besar kepada mereka. Jika semua memainkan peranan sebaik mungkin, ia akan berjaya seperti yang kita lihat pada hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis The Fashion Show – Muslimah Climb Up The Ladder anjuran pelajar semester 5 Diploma Pengurusan Pelancongan, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Muadzam Shah (PMS) dengan kerjasama Nuril Anwar, SA Design Enterprise, Nor As Jaya Trading, PISB Porcelain Inn Sdn Bhd, FIY Balqis Collection serta Lovely Jey.

Menurutnya, pujian juga harus diberikan kepada pelajar yang terlibat kerana berjaya mendapatkan tajaan daripada beberapa usahawan dan syarikat sekitar Muadzam Shah.

Sementara itu, Pengarah Program, Nazatul Syazlin Nazri, 20, yang ditemui tidak menafikan kerjasama antara komiti merupakan cabaran terbesar untuk menjayakan majlis peragaan fesyen berkenaan.

“Ini kali pertama saya dilantik sebagai pengarah program dan ia cabaran yang besar apabila ia melibatkan komitmen komiti yang terlibat tetapi saya bersyukur sebab semua memberikan kerjasama serta masing-masing memainkan peranan.

“Majlis fashion show ini pula kali pertama diadakan sebab sebelum ini kebanyakan program lebih kepada karnival pelancongan dan sebagainya. Secara tidak langsung hari ini (semalam) kami telah melalui sendiri pengalaman menganjur fashion show,” katanya.