KUANTAN - Keriangan tiga sahabat keluar memancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka, Mohd Danish Haikal Semar, 12, terjatuh ke dalam Sungai Belat, di Kampung Jaya Gading, kira-kira jam 2.15 petang tadi.

Mohd Danish Haikal dipercayai terjatuh di sungai itu selepas berdiri pada sebatang kayu ketika mula memancing.

Bapa mangsa, Semar Osman, 46, berkata, sebelum kejadian, dia beberapa kali memanggil anaknya yang ketika itu berada di luar rumah supaya masuk ke dalam kerana hujan.

"Haikal... Haikal... beberapa kali saya panggil namanya, namun mungkin dia tidak dengar kerana berada di tepi sungai bersama kawan-kawannya untuk memancing.

"Saya tunggu agak lama tetapi dia masih tidak masuk rumah... selepas saja solat Zohor, isteri saya, Nazira Mohd Yusof, 41, balik dari dewan berdekatan memberitahu Haikal jatuh sungai.

"Saya terus pergi ke tepi sungai untuk selamatkan dia tetapi malangnya kelibat Haikal langsung tak nampak," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Dalam pada itu, menurut Semar, dia telah diberitahu seorang pemancing yang berada di tempat kejadian anaknya gagal diselamatkan.

"Ketika kejadian, lelaki itu beritahu anak saya cuba berdiri di atas sebatang kayu sebelum mula memancing tapi kayu tu patah dan anak saya terjatuh.

"Orang tu cuba nak selamatkan dia. Haikal dapat pegang dia, tapi tak berjaya naik ke tebing," katanya.

Katanya lagi, anak lelaki tunggalnya itu sudah biasa memancing di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya, tetapi tidak menyangka lain pula yang berlaku.

“Saya harap anak saya ditemui segera... saya berdoa kepada ALLAH SWT supaya segala urusan pencariannya dipermudahkan.

“Saya reda dengan segala kemungkinan bila dah jumpa nanti, jika ini adalah takdir yang sudah ditetapkan untuk Haikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd Idzhar Razali, berkata , pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 2.20 petang dan lapan pegawai serta anggota dari balai itu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari oleh Unit Skuba Bomba dilakukan di tempat mangsa terjatuh dan seterusnya membabitkan kawasan sekitar sungai sehingga dua kilometer.

"Sehingga jam 7 petang tadi, Mohd Danish Haikal masih belum ditemui, dan operasi mencari serta menyelamat telah dihentikan sementara waktu.

"Operasi menyelamat akan disambung pada jam 9 pagi esok, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.