KUANTAN - Pakatan Harapan(Harapan) Pahang sudah memuktamadkan hampir 95 peratus agihan kerusi Parlimen dan Dun di negeri ini bagi menghadapi PRU14.

Pengerusi Harapan Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, hanya tinggal dua kerusi Dun yang belum mencapai keputusan muktamad antara komponen pembangkang di negeri ini.

Menurutnya, Harapan juga telah mengenalpasti calon-calon yang akan bertanding dan menjelaskan ia adalah kombinasi muda dan berpengalaman serta daripada pelbagai latar belakang pendidikan selain golongan profesional selepas melalui saringan ketat.

"Menyedari kecenderungan Pas untuk menjadi ‘spoiler’, kami telah merangka strategi mantap bagi menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru.

"Walaupun kami yakin persefahaman atau istilah Pas-ta'wun antara Pas dan Umno akan memastikan pertandingan satu lawan satu di beberapa kerusi dan jika pertandingan tiga penjuru, kami anggap ia tidak lebih sandiwara Pas bagi memberikan oksigen kepada Umno," katanya dalam kenyataan media yang dibacakan Timbalan Pengerusi PH, Leong Ngah Ngah.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media pengisytiharan Jawatankuasa Harapan Pahang bagi menghadapi PRU14 di sini hari ini yang mempertandingkan 42 kerusi Dun dan 14 kerusi Parlimen.