BENTONG - Nasib seorang warga emas di Felda Sungai Kemahal, di sini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila penyakit gout dihidapi sejak 10 tahun lalu bukan sekadar menyebabkan dia kini tidak mampu berjalan, malah terpaksa melalui kehidupan sukar.

Osman Puteh, 70, tidak mampu meneruskan urusan harian seperti sediakala dan kerja-kerja menguruskan ladang terpaksa diambil alih oleh anaknya, Zakaria berikutan penyakit dihidapinya semakin teruk sejak awal tahun lalu. 

Rakannya, Mohamed Shaipudin Baba, 49, berkata, Osman sudah lama menghidap gout dan pembedahan dilakukan, tidak menunjukkan perubahan positif. 

“Sebelum ini penyakitnya tak menyerang berterusan dan dia boleh buat kerja macam biasa. Tapi sejak awal tahun lalu dia tak boleh berdiri.

“Serangan gout paling teruk dialami Osman adalah pada November tahun lalu yang mana kaki dan tangannya jadi kebiruan dan bengkak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohamed Shaipudin berkata, kaki Osman belum sembuh selepas menjalani pembedahan dan kini rakannya itu masih menjalani rawatan susulan serta hanya terbaring di atas katil kerana perlu lebih rehat.

Menurutnya, tugas menyara keluarga terpaksa dipikul Zakaria dan hasil pendapatannya yang hanya membuat kerja kampung tidak mencukupi, menyebabkan mereka sekeluarga hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Sekarang ini Osman terima rawatan di klinik kerajaan tapi katanya tak beri kesan.

Dia terpaksa beli ubat di klinik swasta kerana lebih berkesan kepada dirinya.

“Tapi harga ubat itu RM100 dan perlu diambil sekali seminggu. Kos perubatan memang jadi beban buat Zakaria sekeluarga dan itu belum masuk kos suntikan sekiranya penyakit gout tak dapat dikawal,” katanya.

Mohamed Shaipudin berkata, Osman telah memohon untuk mendapatkan bantuan daripada JKM, namun belum mendapat sebarang jawapan. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB milik Zakaria bernombor 7616945062.