KUANTAN - Pemilihan lokasi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dibuat berdasarkan cadangan daripada kerajaan negeri dan diputuskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata setakat ini dua RTC diwujudkan di Pahang iaitu di Kuala Pahang dan Bandar Pusat Jengka, manakala sebuah dirancang di Raub.

"Walau bagaimanapun untuk cadangan RTC di Raub, pihak KKLW telah mewujudkan cadangan Mini RTC di Kampung Kuala Medang, Lipis yang berhampiran Felda Sungai Koyan, Raub sebagai Pusat Pertumbuhan Desa di kedua-dua kawasan tersebut.

"Mini RTC tersebut akan menjadi pusat hentian setempat memandangkan Kampung Kuala Medang merupakan kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan utama," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di sini hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Mohd Johari Hussain (BN-Tioman), beliau berkata kerajaan negeri tidak bercadang menambah jenis barangan bebas cukai seperti kenderaan bermotor di Pulau Tioman atas beberapa faktor.

"Antaranya kesukaran Jabatan Kastam untuk membuat kawalan kenderaan bermotor disebabkan banyak pintu masuk dan keluar di Pulau Tioman selain kesulitan dari segi pergerakan pegawai untuk membuat pemeriksaan kenderaan bermotor," katanya.

Menurutnya jika terdapat individu yang ingin membawa masuk kenderaan bermotor secara bebas cukai boleh membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pengecualian cukai di bawah kuasa Menteri.- Bernama