CHENOR - Gelagat seorang peniaga kuih raya warga emas yang duduk di atas bumbung kereta mempromosikan produk jualannya menarik perhatian orang ramai di Pasar Malam Pekan Awah, di sini.

Penduduk Kampung Awah, Mohd Hanafiah Chik, 63, yang membahasakan dirinya sebagai Aki itu membuatkan setiap pengunjung menoleh ke arahnya kerana keriuhan mulutnya yang tidak henti-henti berceloteh.

Menurutnya, kuih hasil buatan tangan isterinya itu hanya dijual di pasar malam tersebut sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.

“Bulan lain Aki tak jual tapi ketika Ramadan sahaja, malah putu kacang ini memang digemari orang ramai ketika menyambut Syawal.

“Sudah 16 tahun Aki berniaga putu kacang di pasar malam ini, tempat lain Aki tak pergi sebab jauh. Jika orang lain berniaga menggunakan khemah, tapi Aki nak buat kelainan, lagi pun lebih menjimatkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bapa kepada lima anak itu berkata, pegawai penguat kuasa tidak pernah 'kacau' tindakannya berniaga di kawasan letak kenderaan itu kerana dia mengakui tidak mampu untuk menyewa tapak dan memiliki khemah niaga sendiri.

Menurutnya, keuntungan yang diperoleh hasil jualan putu kacang dengan RM14 sebalang tidak seberapa dan hanya sekadar sampingan bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan anak bongsu yang berada di tingkatan dua.