IPOH – Kawasan perindustrian di Lahat dan Lembah Kinta akan mengalami pembangunan pesat apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) memberi lampu hijau terhadap projek rangkaian paip penyaluran gas dari Sitiawan ke Lahat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian bersetuju memberi keutamaan kepada projek berkenaan dalam penyediaan infrastruktur bagi memenuhi permintaan dalam sektor berkenaan di Perak.

“Projek sepanjang 60 kilometer itu akan beri banyak manfaat khususnya di Lahat dan sudah pasti ia akan melonjak ekonomi dalam sektor industri di kawasan Lembah Kinta.

“Kerajaan negeri amat berharap ia akan dilaksanakan segera kerana kawasan industri sama ada kecil mahupun besar di sepanjang projek tersebut akan menikmati kemudahan daripada rangkaian penyaluran gas berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini, semalam.

Zambry menambah, Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri dalam pertemuan dengan kerajaan negeri baru-baru ini turut menyatakan komitmen terhadap cadangan Perak untuk membangunkan semula beberapa zon perindustrian.

“Miti menyatakan bersedia menyediakan kertas kabinet mengenai permintaan kita untuk dipertimbangkan di peringkat Pusat dan ia satu berita baik untuk rakyat Perak.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Miti yang yakin dengan potensi ekonomi Perak selain cadangan program pembangunan  khususnya dalam sektor perindustrian,” katanya.