SEREMBAN – Sebuah tokong berusia 154 tahun dan merupakan antara tokong tertua di Negeri Sembilan, musnah dalam  kebakaran, awal hari ini.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba negeri Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata dalam kejadian 4.53 pagi itu, bahagian dalam Tokong Then Sze yang terletak di Temiang dekat sini, musnah kira-kira 40 peratus.

“Sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban tiba di lokasi kira-kira 30 minit selepas mendapat panggilan kecemasan. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.

Tokong Then Sze atau turut dikenali sebagai Centipede Temple adalah sebuah tokong bersejarah di Seremban yang didirikan pada tahun 1864 dan menjadi sebuah daripada lokasi tumpuan pelancong. - Bernama