SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan merangka strategi baharu dan kerja­sama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menangani masalah pem­­bakaran terbuka di seluruh negeri ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, antara tindakan drastik adalah menguatkuasa larangan pembakaran terbuka dan mengenakan tindakan ke atas pemilik tanah.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) telah pun menubuhkan pasukan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka bermula jam 9 pagi sehingga 9 malam.

“Sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 114 aduan pembakaran ter­buka diterima dan daripada jumlah itu, 92 kes membabitkan sam­pah-sarap dibakar di kawasan peruma­han serta kampung.

“Bagi kes itu, pelaku sudah diberi amaran secara lisan supaya tidak mengulangi perbuatan terbabit. Surat amaran dan notis dikeluarkan kepada pelaku atau tuan tanah,” katanya di Kom­pleks Penyiaran Tuanku Muham­mad, Sungai Gadut di sini, semalam.

Selain itu katanya, berdasarkan statistik sebanyak 111 kompaun dikeluarkan JASNS dari 2013 hingga Ogos 2018.

Tin­dakan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit bersalah.

Dalam perkemba­ngan lain, Veerapan ber­kata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi akan digazet sebagai zon larangan merokok termasuk kawa­san rekreasi dan restoran.

“Ia dilaksanakan da­lam masa terdekat dengan penguatkuasaan lebih serius akan diambil terhadap individu yang didapati merokok di kawasan zon larangan.