NILAI - Impian kerajaan negeri menjadikan Seremban sebagai sebuah bandar raya akhirnya tercapai apabila secara rasminya Majlis Perbandaran Seremban bergabung dengan Majlis Perbandaran Nilai, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penggabungan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjadikannya sebagai satu entiti dikenali Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Percantuman kedua-dua PBT ini dibuat selepas isu-isu pentadbiran dapat diselesaikan dan MBS boleh diurus dengan baik selain dapat memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat di kawasan MBS.

“Sebenarnya Kabinet meluluskan MBS diwujudkan pada 2013, tapi kita tangguh penubuhan kerana memerlukan masa untuk kita pastikan falsafah merakyatkan penjawat awam dapat diterapkan kepada penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pra Pelancaran MBS yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias di Dataran Nilai, di sini.

Hadir sama, barisan exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Yang Dipertua MPS dan MPN, Datuk Abdul Halim Abdul Latif.

Menurutnya, sejak dua tahun kebelakangan ini kedua-dua PBT berkenaan beroperasi cemerlang dan menunjukkan perkhidmatan baik kepada kepuasan pelanggan, selain peningkatan terhadap pungutan hasil.

“Maka kerajaan negeri bersetuju sudah tiba masanya untuk menerima tawaran kelulusan daripada kabinet untuk mencantumkan kedua-dua PBT untuk diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya.

“Pengisytiharan MBS ini bersamaan dengan rancangan pembangunan 30 tahun Negeri Sembilan termasuk pembinaan Malaysia Vision Valley (MVV) sebagai perbandaran futuristik juga suatu pembesaran wilayah Kuala Lumpur,” katanya.

Mohamad berkata, MVV seluas 153,000 hektar merangkumi kawasan Nilai bersempadan Selangor sehingga Batu 3 di Port Dickson dengan penyediaan infrastruktur termasuk pengangkutan awam yang melengkapkan ciri-ciri kehidupan masa depan.

“Jadi, rancangan pembangunan infrastruktur yang kita nak bina dalam kawasan MBS akan dipastikan supaya pengangkutan awam dan kemudahan jalan raya lain diberikan keutamaan untuk memudahkan orang ramai menjalankan kegiatan seharian,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya meminta Kerajaan Persekutuan membina sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Nilai bagi memudahkan penduduk sekali gus melancarkan pengurusan pentadbiran negeri.