REMBAU – Kecekapan pasukan siasatan khas atau ‘task-force’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau berjaya menumpaskan dua kumpulan pencuri yang aktif mencuri kabel di daerah ini dan sekaligus menyelesaikan sekurang-kurangnya 19 kes.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, kedua-dua kumpulan pencuri berkenaan berjaya ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam berlakunya kemalangan membabitkan sebuah motorsikal yang terlanggar kabel curi di Jalan Gadong-Kota, petang semalam.

Menurutnya, kira-kira jam 11.50 malam, polis telah menangkap lima lelaki termasuk seorang anggota tentera berusia 28 tahun yang sedang leka membakar kabel curi bernilai kira-kira RM4,000 di tepi sebuah bengkel di Kampung Perah, Kota.

“Dalam masa yang sama, task-force kita berjaya menjejaki sebuah lagi kumpulan pencuri kabel yang terdiri daripada enam lelaki dari Kuala Lumpur yang bersembunyi di dalam sebuah kebun kelapa sawit dan hutan berhampiran lokasi kemalangan.

“Kesemua enam lelaki ini salah seorang daripadanya merupakan anggota tentera yang lari daripada tugas di Lahad Datu, Sabah dan pernah bekerja di bawah sub kontraktor kabel bawah tanah berjaya ditangkap dalam satu aksi kejar mengejar sehingga jam 4.30 pagi tadi,” katanya dalam satu Sidang Media di Bilik Gerakan IPD Rembau, di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Mohd Ferdaus Mohd Suid.

Ibrahim berkata, dengan penangkapan 11 lelaki berusia 18 tahun hingga 33 tahun berkenaan, polis berjaya menyelesaikan 16 kes curi kabel yang berlaku sejak Januari hingga semalam bernilai RM86,000, dua kes curi kereta  iaitu di Pasir Panjang, Port Dickson, dan, di Kuala Lumpur serta satu kes curi pakaian di kedai dobi yang dilaporkan di Chembong, 21 November lalu.

Menurutnya, dua lelaki yang mencuri pakaian di kedai dobi berkenaan merupakan dua lelaki yang dikehendaki polis dalam dua kes berasingan iaitu kes di bawah penyalahgunaan dadah di Sentul, Kuala Lumpur dan kes kecurian kabel di Johol, Kuala Pilah.

“Enam daripada 11 lelaki yang ditangkap berkenaan positif dadah jenis Meth dalam ujian urin yang dijalankan dan salah seorangnya dikesan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram.

“Susulan penangkapan ini, kita merampas pelbagai barangan kes berupa peralatan mencuri kabel, dua kereta curi iaitu kereta Proton Wira serta Produa Myvi dan lain-lain lagi.

Ibrahim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kecurian kabel dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan bagi kecurian di kedai dobi.