SEREMBAN - Seorang pemandu lori tangki membawa muatan asid maut apabila kenderaan itu terbalik ketika mengelak sebuah kereta terbabas di Kilometer 251.6 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.22 pagi di susur masuk Plaza Tol Senawang itu, mengakibatkan mangsa, Surazru Mohamed Sakeri, 37, maut di tempat kejadian, dipercayai akibat kecederaan dalaman.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II Zainurin Sharif berkata, empat jentera dengan kekuatan 20 anggota serta pegawai, termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita segera mengeluarkan pemandu lori yang membawa 25,000 liter asid itu dan mendapati dia sudah meninggal dunia.

"Dua wanita berusia dalam lingkungan 30-an, iaitu pemandu dan penumpang kereta yang terbabas itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kerana mengadu pening, berkemungkinan akibat terhidu asid," katanya.

Pasukan Hazmat membersihkan sisa asid tumpah bagi mengelak lori yang terbalik, terbakar. - Foto ihsan bomba

Beliau berkata, mayat pemandu lori itu kemudiannya dihantar ke HTJ untuk tindakan lanjut.

Kerja-kerja pembersihan dijalankan oleh pasukan Hazmat dengan membersihkan tumpahan asid di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan kawasan sekelilingnya selamat.

Lori tangki yang terbalik itu kemudiannya diangkat menggunakan kren.