PEDAS – Langkah Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan turun padang membantu nasib balu anggota tentera seharusnya dipuji.

Selain meninjau masalah dihadapi, mereka juga menyalurkan bantuan khairat kematian berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Salah seorang penerima, Faridah Ibrahim, 57, berkata, dia menghargai sumbangan diberikan persatuan berkenaan untuk membela nasih keluarga ahli.

Menurutnya, arwah suaminya, Zamri Budin baru meninggal dunia, 25 Jun lalu akibat kanser paru-paru tahap empat, yang dikesan April lalu.

Katanya, pada mulanya, mereka sekeluarga tidak mengetahui suaminya menghidap kanser berikutan tiada masalah dikesan setiap kali membuat pemeriksaan kesihatan.

“Cuma hampir lima bulan suami mulai batuk dan akhirnya kami membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan.  

"Arwah suami dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Mac lalu dan pada April, kami sekeluarga baru mengetahu penyakit sebenar suami setelah suami menjalani pemeriksaan MRI (magnetic resonance Imaging)," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga lega kerana setiap kali rawatan kimoterapi dijalankan, PBTM dan JHEV turut membantu menghulurkan bantuan perubatan bagi ubatan bernilai lebih RM1,000,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Turun Padang PBTM, JHEV di kediamannya, dekat sini.

Turut hadir, Wakil PBTM Negeri Sembilan, Mejar (B) Ahmad Fadillah Hashim; Pengarah JHEV Negeri Sembilan / Melaka, Mejar Nik Anuar Nik Mat dan Ahli Jawatankuasa Kumpulan Koperasi Veteran Tentera Tidak Berpencen (KKTTB) Rembau, Norizan Husin.

Faridah berkata, buat masa ini, dia hanya memikirkan perbelanjaan untuk dua anaknya sedang menuntut di Politeknik, manakala seorang lagi masih bersekolah menengah.

Sementara itu, Ahmad Fadillah berkata, beliau amat berharap ahli PBTM mengalami sebarang masalah, bencana atau apa sahaja kesulitan hidup supaya melaporkan secara terus kepada organisasi berkenaan.

“Jangan mengadu kepada pihak-pihak lain sehingga mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.  

"Sekiranya tidak dapat berhubung dengan mana-mana jawatankuasa PBTM, mereka boleh datang ke Wisma Pahlawan di Seremban bagi mengadu masalah," katanya.