MELAKA - Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini bakal menerima penerbangan terus dari bandar Guangzhou yang terletak di wilayah Guangdong, China, bermula 29 September ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata penerbangan secara sewa khas dua hala itu akan dikendalikan syarikat penerbangan China Southern Airlines menggunakan dua jenis pesawat iaitu Airbus A319 dan Boeing B73G.

"Sebanyak 27 penerbangan akan ditawarkan antara 29 September  hingga 3 Januari tahun depan bagi melihat penerimaan pelancong dari kedua-dua hala. Saya melihat ini sebagai permulaan yang cukup penting bagi hubungan Melaka dan wilayah Guangdong pada masa hadapan.

"Kita jangkakan penerbangan ini akan menjadi penerbangan berjadual pada masa hadapan sekiranya ia mendapat sambutan yang menggalakkan terutama Melaka merupakan negeri yang melaksanakan e-visa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu,  beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) antara Kumpulan Melaka Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairulezuan Harun dan Pengurus Besar, Pejabat Jualan Tiket Guangzhou untuk China Southern Airlines, Xiao Yong.

Idris berkata, menerusi perancangan awal, penerbangan dari Guangzhou akan berlepas pada jam 7.45 pagi dan sampai di Melaka jam 11.50 pagi, penerbangan dari Melaka pula akan berlepas jam 12.50 tengah hari dan tiba di Guangzhou pada jam 5 petang.

Beliau berkata, kekerapan penerbangan adalah bergantung kepada permintaan dan 27 penerbangan itu adalah perintis bagi mengetahui corak permintaan dalam menentukan jadual kekerapan penerbangan pada masa hadapan.

Katanya, penerbangan dua hala berkenaan dijangka dapat menarik lebih banyak pelancong dari China ke Melaka pada masa hadapan.

Beliau berkata, Melaka menerima kedatangan sejumlah 879,500 pelancong dari China sepanjang tahun lalu.

"Selain industri pelancongan, kerjasama ini juga dijangka menjadi permulaan bagi bidang perdagangan dan pertukaran budaya antara Melaka dan China," katanya. - Bernama