SEREMBAN - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah tokong di Temiang yang berlaku awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Thiew Hock Poh berkata, lelaki India berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis di hadapan Restoran OS Maju, Jalan Temiang, Seremban, kurang dari 24 jam selepas kejadian itu berlaku.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Tokong tertua di Negeri Sembilan terbakar]

"Rampasan yang telah dibuat ke atas lelaki berkenaan adalah sebuah tabung disyaki milik tokong yang terbakar, pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian, sebuah topi kaledar dan sebuah motosikal.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan tahan reman. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.