BANDARAYA MELAKA - Pelajar semester lima, jurusan kejururawatan Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim) terpaksa mengikat perut untuk meneruskan pembelajarannya, gara-gara kesempitan hidup yang dialami keluarga.

S.Punitha, 21, berkata, biarpun dia ada menerima wang bantuan bulanan berjumlah RM200 setiap bulan daripada Timbalan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Banda Hilir Ronald Gan, namun separuh darinya terpaksa diasingkan untuk membantu ibu membayar sewa rumah.

Menurutnya, dia terpaksa membantu ibu, Y. Rajeshwari, 55, yang hanya bekerja secara sambilan sebagai tukang bersih kedai dengan jumlah pendapatan cuma sekitar RM300 sebulan.

“Selain saya, ibu terpaksa menanggung seorang lagi kakak, S. Parani, 24, yang kini menuntut di sebuah kolej swasta.

“Kehidupan kami sejak kecil memang susah sejak ayah meninggal dunia 17 tahun lalu dan ibu membesarkan kami di rumah sewa ini dengan bayaran sebanyak RM100 sebulan,” katanya sewaktu menerima kunjungan Timbalan Naib Canselor Kuim, Datuk Prof. Madya Dr Baharudin Puteh di rumahnya di Jalan Bukit Senjuang, dekat sini semalam.

Selain Ronald, turut sama dalam kunjungan itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz.

Sementara itu, Dr Baharudin berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai kehidupan pelajar terbabit setelah dia kerap tampil untuk memohon bantuan Tabung Mahasiswa Kuim.

“Dia kerap memohon bantuan itu, termasuk yang terakhir beberapa minggu lalu bagi membeli pakaian kejururawatan. Bagaimanapun bantuan itu amat terhad, cuma diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kami membuat lawatan ini bertujuan mengetahui kehidupan keluarganya yang sebenar tetapi ternyata dia benar-benar susah lantaran cuba mengaturkan bentuk bantuan sesuai sebagai tambahan,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnald berkata, sebelum ini, pihaknya sudah membantu keluarga terbabit untuk mendapatkan bantuan bulanan sebanyak RM190 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Menyedari pelajar ini memerlukan bantuan kewangan untuk belajar, kami memberikan dia bantuan sebanyak RM200 sebulan mulai September lalu namun apabila mengetahui separuh daripadanya dia asingkan untuk bayar sewa rumah, saya rasa amat terharu," katanya.