KOTA BHARU - Seramai 30,000 peserta disasarkan menyertai Karnival Walkathon D’Raja Kelantan 2013 ‘Walk With Me’ yang akan bermula pada 1 hingga 4 Mei nanti anjuran Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi.

Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim berkata, setakat ini, pihaknya sudah mempunyai 15,000 peserta terdiri daripada sukarelawan, pelajar dan duta, selebihnya akan dicapai dalam masa terdekat.

“Pada tahun ini, terdapat sedikit perubahan pada penganjuran Walk With Me kali ketiga ini iaitu melibatkan penubuhan Tabung Perwira Lahad Datu.

“Sebahagian sumbangan yang diberikan melalui program Walk With Me akan diagihkan kepada tabung berkenaan dan Tuanku akan memilih untuk sumbangan ke tabung ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Istana Balai Besar, di sini, kelmarin.

Tahun lalu, Kelantan mencatatkan sebagai pemegang rekod walkathon paling ramai di Malaysia dengan penyertaan 25,333 sejauh tujuh kilometer dalam masa satu jam 15 minit, manakala pada tahun lalu seramai 21,111 menyertainya dengan berjalan sejauh tiga kilometer dalam masa 35 minit.

Tengku Abdul Halim berkata, selain melibatkan aktiviti berjalan kaki di sekitar bandar Kota Bharu, program empat hari berkenaan turut memuatkan pelbagai acara menarik.

“Antara pengisian aktiviti sepanjang empat hari Walk With Me berlangsung termasuk terdapat ‘booth’ pameran dan jualan, Pesta Nasi 100, konsert Kebudayaan Kelantan (hari pertama), ceramah perdana oleh Ustaz Azhar Idrus (hari kedua) dan hari ketiga, terdapat pertandingan Autoshow III serta pertandingan mewarna kanak-kanak.

“Menariknya, terdapat pertandingan masakan dan sepanjang empat hari itu, Pesta Nasi 100 berlangsung dengan menganjurkan pemilihan nasi terbaik dengan empat kategori dan hadiah lumayan ditawarkan,” katanya.

Katanya, terdapat juga acara menarik yang lain termasuk tatu Kesatria Merah dengan T-Baton serta persembahan K9 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan pada hari ketiga dan pada hari keempat perlawanan bola sepak persahabatan dan sukaneka akan turut dijalankan.

Katanya, orang ramai yang berminat menyertainya boleh melayari http://royalkelantanwalkathon.com.