MACHANG - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan bakal melebarkan pasaran hasil kerja seni penuntut dan tenaga pengajarnya dengan penubuhan galeri seni di Kampus Kota Bharu.

Rektornya, Dr Tuan Rosli Tuan Hassan berkata, penubuhan tersebut masih dalam peringkat kajian dalam usaha mempromosikan produk seni pelajar yang mana bukan sahaja berkualiti tetapi membawa imej UiTM di mata khalayak.

Katanya, dalam masa sama, galeri tersebut juga mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap fakulti seni sekali gus memupuk minat generasi muda mendalaminya.

“Hasil kerja penuntut dan tenaga pengajar sangat memberangsangkan dan kita melihat ia sebagai kekuatan yang mampu menaikkan imej UiTM.

“Dalam pada itu, Kita (UiTM Kelantan) juga ada memohon untuk pembinaan galeri seni yang lebih besar dan strategik di sini (Machang) dan berharap permohonan tersebut mendapat perhatian UiTM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Pameran Diploma Pelajar Tahun Akhir Sesi Jun-November 2016 di sini, kelmarin.

Pameran yang bertemakan budaya masyarakat Timur itu menampilkan kira-kira 360 karya penuntut membabitkan pelbagai cabang seni termasuk tekstil, set hiasan wanita dan arca.

Seramai 180 pelajar diploma di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka terlibat menjayakan pameran tersebut sekali gus mencatatkan rekod peserta paling ramai menjayakannya sejak penubuhan UiTM Kelantan.

Tuan Mohd Rosli berkata, pameran tersebut berjaya menampilkan hasil seni berkualiti, diolah secara kreatif dengan idea-idea yang segar dan berani.

Sementara itu, ketua projek, Suhaidi Razi berkata, pameran tersebut merupakan kesinambungan pameran hasil seni sebelum ini yang banyak mengutarakan perspektif budaya  sebagai tema dalam amalan penghasilan sesebuah hasil seni.

Katanya, ia bertujuan menyampai, membicarakan dan mengangkat nilai-nilai estetika Melayu dalam konteks penghasilan seni sama ada dalam bentuk karya ataupun produk kreatif.