TUMPAT - Tujuh kali kedai bundle di kampung Kubang Batang dipecah masuk akhirnya pencuri itu berjaya diberkas sendiri pemiliknya pagi tadi.

Tertangkapnya lelaki berusia 24 tahun itu turut membongkar kegiatan liciknya kerana dia sebelum ini kerap singgah di kedai bundle tersebut menyamar sebagai pelanggan.

Muhammad Rudi Abdul Ghani, 37, berkata, lelaki itu ditangkap ketika dia leka mengisi penyangkut baju bundle di dalam plastik bersebelahan kedainya kira-kira jam 7.35 pagi.

"Sewaktu saya sampai di kedai bundle ini, dia sedang isi penyangkut baju di dalam plastik.

"Bila saya tanya dia buat selamba saja, terus mengisi penyangkut baju itu dalam anggaran 100 unit ke dalam plastik, ada juga baju bundle beberapa helai bersamanya.

"Saya terus tangkap lelaki itu dan ikat tangan kemudiannya menghubungi  polis," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya memeriksa di dalam kedainya dan menjumpai dua bungkusan baju yang siap di ikat tetapi tidak sempat dibawa lari lelaki itu.

Katanya, dia dapat tahu kedainya dimasuki pencuri selepas diberitahu ibunya, Che Azizah  Mat Yusoff, 64, yang berniaga kedai runcit di sebelah kedai bundlenya.

"Saya tinggal di rumah sewa berdekatan, bila dihubungi keluarga, saya terus bergegas ke kedai dan nampak lelaki itu," katanya.

Rakan kongsi, Roslan Ibrahim, 44, berkata, dia pernah nampak lelaki ini  beberapa kali masuk ke dalam kedai tetapi tidak pernah membeli walau pun sehelai baju pun.

"Sekadar bertanya harga baju, kalau ada yang berkenan diminta simpan dan akan datang lain kali untuk beli.

" Tapi kalau dia datang lagi, tak beli pun, dia juga kerap tanya pelik-pelik, tanya kedai buka jam berapa, tutup jam berapa, mungkin taktik dia nak datang mencuri," katanya.

Menurutnya, dia sudah lama  bersabar menanggung kerugian ribuan ringgit sejak Aidilfitri lalu lagi kedainya dipecah masuk dan kali ini tertangkap juga pencuri itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Mohamed Zulmazi Che Daud mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan curi dalam bangunan.