KOTA BHARU – Tonggak pertahanan, S Subramaniam terpaksa melupakan seketika hasrat untuk menyarung jersi Kelantan pada saingan Liga Malaysia musim depan setelah menjalani pembedahan lutut di ibu negara, pagi semalam.

Pemain yang berasal dari Sungai Siput, Perak itu selamat menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), Damansara dan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk kembali beraksi bersama The Red Warriors.

“Doktor menasihati saya berehat panjang. Sudah pasti saya terlepas peluang membantu Kelantan apabila Liga Malaysia 2013 bermula awal bulan depan.

“Saya memang kecewa dan terkilan, tetapi berharap rakan sepasukan lain dapat meneruskan perjuangan Kelantan terutamanya dalam mempertahankan kejuaraan tiga piala yang dimenangi pada musim lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Pemain berusia 27 tahun itu menjadi watak penting ketika membantu Kelantan mencipta kejuaraan treble pertama setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Oktober lalu.

Begitu pun, pemain pertahanan kebangsaan itu terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua apabila mengalami kecederaan ligamen lutut ACL (Anterior Cruciate Ligament)  setelah berlaga dengan pemain ATM, Hairuddin Omar dalam perlawanan tersebut.

Mengulas mengenai kelewatan menjalani pembedahan tersebut, Subramaniam menjelaskan, doktor menyarankannya menangguhkan seketika memandangkan lututnya masih bengkak pada bulan lalu.

Menurut Subramaniam, beliau berharap dapat kembali pulih dalam tempoh tersebut kerana tidak sabar untuk kembali menyarung jersi Kelantan pada saingan liga musim depan.

“Selepas ini saya akan meneruskan rawatan susulan di sini (KLSMC) dan menjalani fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Subramaniam menjadi pemain kelima Kelantan selepas Azizi Matt Rose, Mohamad Ab Aziz Ismail, S Chanturu dan Mohd Farisham Ismail mendapat rawatan di institusi perubatan itu pada musim lalu.