KUALA KRAI - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 66 Jalan Kota Bharu - Gua Musang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, mangsa, Mohammad Edzrani Ghazali, 18, dari Guchil 1, yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Penunggang sebuah lagi motosikal, Mohd Fikri Dzani, 17, dari Rumah Panjang Sungai Durian, patah kaki sementara pemandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback, Abdussalam Mohd Sulaima, 25, dari Sungai Embak tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

"Tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Kota Bharu membuat pusingan U ke kanan jalan.

"Bagaimanapun ketika itu, mangsa serta seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Fikri, tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta berkenaan,” katanya.

Abdullah berkata, Mohd Fikri dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.