ARAU – Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Pesta Songkran atau sambutan pesta air masyarakat Siam sebagai satu acara tahunan Kalendar Pelancongan Negeri bermula tahun depan.

Disambut pada 13 April setiap tahun atau pada bulan kelima Kalendar Lunar Siam, ia menandakan bermulanya tahun baru juga permulaan musim penanaman padi.

Exco Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Abdul Jamil Saad berkata, Pesta Songkran akan dijadikan acara tahunan berdasarkan sambutan memberangsangkan yang diterima masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, pesta berkenaan juga menjadi platform bukan sahaja kepada masyarakat Siam malah kepada masyarakat berbilang kaum menjalin dan mengeratkan hubungan.

“Kita tengok sejak awal pagi tadi masyarakat Siam, Melayu, Cina dan India turut sama hadir ke sambutan pesta ini. Mereka dapat bergembira bersama-sama main air dan ini menunjukkan semangat perpaduan wujud dalam kalangan kita,” katanya.

Abdul Jamil berkata, pesta ini juga dapat memupuk nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua dan mendidik pengunjung bersikap sabar dan bertoleransi.

Dalam pada itu bagi penganjur acara, Kelab Penyokong 1Malaysia menyambut baik cadangan yang diutarakan kerajaan negeri itu.

Presidennya, Datuk Zulkeflee Ibrahim berkata, pihaknya akan bekerjasama dan membantu kerajaan negeri mempromosikan pesta berkenaan khususnya di beberapa utara tanah air bagi menjayakannya.

“Bagi Pesta Songkran pada tahun depan kita akan bermula lebih awal, kita akan membentuk jawatankuasa khas bermula bulan Disember.

“Kita akan mengadakannya secara besar-besaran. Kita mengajak masyarakat Siam di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan hadir menjayakannya,” katanya.

Pada Pesta Songkran peringkat negeri Perlis yang diadakan di Wat Macchimaprasit, lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan.