PASIR MAS - Kejohanan Muay 2016 anjuran Persatuan Muay Negeri Kelantan pada 23 dan 24 Oktober ini di Dewan Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah bakal berlangsung dalam suasana patuh syariah.

Setiausahanya, Wan Rosdi Wan Ismail berkata, patuh syariah itu selaras dengan peraturan ditetapkan kerajaan negeri.

“Dalam kejohanan itu nanti, peserta juga tidak dibenarkan sebarang pemakaian azimat atau rantai yang boleh membawa kepada syirik sepertimana kebiasaan dilakukan oleh segelintir mereka sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media dan sesi melawat tapak kejohanan di Dewan Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas.

Hadir sama, Presiden Persatuan Muay Negeri Kelantan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad.

Menurutnya, selain itu, semua peserta diwajibkan menutup aurat selaras dengan peraturan ditetapkan serta tidak melibatkan golongan wanita di atas gelanggang.

Katanya, pihaknya berhasrat menjadi perintis patuh syariah penganjuran kejohanan muay di negeri ini sekali gus menjadi contoh.

"Selain itu, sepanjang kejohanan itu berlangsung tiada unsur judi dibenarkan dan kawasan yang dipagarkan sekitar gelanggang juga tidak dibenarkan merokok.

“Kami turut mengetengahkan pertandingan menggunakan sistem point bagi memberikan keadilan kepada peserta. Walaupun ramai yang tidak berminat dengan sistem ini tetapi kami yakin ia akan memuaskan serta memberi keadilan kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Wan Rosdi berkata, sebanyak 3,000 tiket promosi diedarkan kepada pengedar yang dilantik bermula semalam.

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan tiket promosi tersebut dengan harga RM12 sebelum Ahad ini kerana harga asal tiket adalah RM15 bagi dewasa dan RM5 kanak-kanak.

Beliau berkata, bagi memeriahkan suasana, kejohanan amatur juga akan diadakan pada sebelah siang iaitu bermula jam 5 petang.

"Kejohanan ini percuma kepada orang ramai dengan menampilkan peserta dari luar negara iaitu Argentina, Costa Rica dan Thailand," katanya.