PASIR PUTEH - Lebih 100 pesawah di bendang Tasek Pauh, Tok Ajam, Jelor dan Banir Belikong di sini, mengalami kerugian lebih RM700,000 apabila tanaman padi yang mereka usahakan musim lalu musnah disebabkan kekurangan air, diserang tikus dan banjir.

Sebanyak 124.2 hektar padi Tasek Pauh, di Jelor, 69 hektar di Jelor, 92 hektar di Tok Ajam dan 69 hektar di Banjir Belikong gagal memberi sebarang pulangan kepada petani terbabit.

Mereka yang terdiri daripada peserta Program Rakan Ladang (PRL) dan projek Mini Estet Padi mendakwa masalah yang dihadapi tidak mendapat perhatian pihak berkenaan untuk sekurang-kurangnya mendapat pampasan sewajarnya.

Penanam dari Kampung Tasek Pauh, Mat Kelantan Mamat, 58, berkata, petani yang tidak dapat menanam dengan sempurna kerana kekurangan air terpaksa bertahan dengan sebahagian tanaman yang berjaya diselamatkan taburan hujan.

Bagaimanapun katanya, padi diserang tikus menyebabkan beratus hektar musnah dalam masa satu malam sahaja sebelum banjir merosakkan keseluruhan tanaman.

“Saya menanggung kerugian sebanyak RM15,000 ketika masih berhutang untuk menyediakan benih padi, membaja, membajak dan meracun.

“Keadaan itu menyebabkan kami tidak dapat memulakan penanam musim baru yang sepatutnya sudah bermula,” katanya yang mengusahakan padi seluas 3.22 hektar.

Petani dari Kampung Jelor, Johar Abdul Hamid, 41, berkata, dia kerugian sebanyak RM22,000 apabila 10.12 hektar padi yang diusahakan musnah kerana faktor sama.

Katanya, petani turut melaporkan masalah itu kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) pada akhir Oktober tahun lepas untuk mendapatkan sedikit bantuan bagi membolehkan mereka mengusahakan semula tanaman padi.

“Kami kecewa apabila diberitahu petani di kawasan ini tidak tercatat dalam data maklumat lembaga berkenaan untuk menerima bantuan kerana padi mengalami kerosakan akibat bencana,” katanya.

Katanya, penanam yang menanggung kerugian terpaksa membuat laporan polis di Balai Polis Selising, dekat sini, untuk membuktikan tanaman padi mereka musnah, tidak menikmati sebarang hasil tuaian dan gagal melunaskan hutang.

Ketua Blok penanam padi Banir Belikong, Abdullah Awang, 50, berkata, keadaan itu menyebabkan mereka bukan sahaja tidak memiliki modal pusingan untuk mengusahakan semula tanaman padi musim ini, malah kehilangan insentif tanaman serta menanggung hutang.

Sementara itu, Kampung Tok Ajam, Mohamad Lohim, 48, berkata, pihak berkenaan perlu meninjau semula permasalahan ini dengan mengadakan pertemuan dengan petani.