TANAH MERAH - Dalam masa seminggu, dua kali surat khabar milik Choop Soon Tuan dikebas pencuri licik di depan kedainya dalam kejadian seawal jam 5 pagi dekat Jalan Datuk Nik Mustapa.

Pemilik kedai, Wee Piat Cheng, 52, berkata, pagi Ahad lalu, 400 naskhah surat khabar hilang, namun diperoleh semula selepas si pencuri menipunya untuk mendapatkan ganjaran wang.

Menurutnya, suspek lelaki berusia lingkungan 30an itu, datang seawal 5 hingga 6 pagi untuk mencuri surat khabar dan meletakkannya di belakang bangunan kedai bersebelahan.

“Suspek sangat licik kerana berani datang mengatakan surat khabar tersebut ada di belakang dan pencuri yang mengambil surat khabar tersebut sudah ditahan polis, sedangkan itu adalah perbuatannya.

“Bila pekerja saya pergi, memang ada surat khabar di tempat dikatakannya, kemudian saya beri dia ganjaran RM10 kerana tidak mengesyaki lelaki itu berpura-pura,” katanya.

Tambahnya, pagi semalam kejadian sama berulang di mana 200 naskhah surat khabar Sinar Harian dikebas suspek sama selepas melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di depan kedai tersebut.

Kesal dengan kejadian tersebut, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut agar tidak berulang.

“Ada saksi melihat surat khabar yang dikebas suspek pagi semalam, dibawa menggunakan kereta sorong dan diletakkan di Jalan Klinik.

“Bila pekerja saya ke lokasi tersebut ia tiada, nasib baik ada rakaman CCTV, barulah kami tahu, orang sama mengambil surat khabar dalam masa seminggu,” katanya.

Cheng berkata, insiden berkenaan jarang berlaku sejak 30 tahun keluarganya menjalankan perniagaan mengedarkan surat khabar.

"Kejadian sama pernah berlaku sekali, tetapi sudah lama, tetapi hilang senaskhah dua surat khabar pula memang selalu," katanya.