KOTA BHARU - “Tidak tutup aurat dan berkelakuan tidak senonoh di hadapan khalayak memang tidak menepati ciri mereka beragama Islam di bandar Kota Bharu. Sebab itu kami beri peringatan kepada mereka, bukan menghukum.”

Itu penerangan Ketua Operasi Skuad Hisbah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Shaifful Nizam Mohd Mukhtar semasa Operasi Tutup Aurat MPKB-BRI, kepada Sinar Harian.

Skuad Hisbah MPKB-BRI mengeluarkan 1,000 saman sejak 2014 membabitkan kesalahan pakaian tidak menutup aurat bagi pekerja premis dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Shaifful Nizam berkata, mereka yang bekerja atau tinggal di kawasan bandar Kota Bharu lebih cenderung dikenal pasti melakukan kesalahan tersebut.

“Skuad Hisbah ditubuh di bawah Jabatan Pembangunan MPKB-BRI, bukan sahaja memberi tumpuan terhadap pemakaian tidak tutup aurat peniaga di premis pasar raya, malah peniaga pasar malam turut dipantau.

“Sejak 2014, kami telah mengeluarkan 500 kompaun untuk premis dan 500 saman lagi untuk kesalahan kelakuan tidak senonoh atau pergaulan bebas atau maksiat di kawasan taman rekreasi,” katanya ketika operasi tutup aurat di persekitaran pasar raya di Kubang Kerian, kelmarin.

Turut menyertai operasi, 50 anggota penguatkuasaan Skuad Hisbah yang memantau kira-kira 20 premis sekitar Kota Bharu serta Kubang Kerian. Sebanyak tujuh saman dikeluarkan dalam operasi itu.

Shaifful Nizam berkata, menjadi dasar kerajaan negeri membangun bersama Islam, justeru, operasi berkenaan dilakukan serentak di tiga lokasi tumpuan di kawasan bandar, pasar raya, perumahan dan taman.

Menurutnya, kompaun maksimum RM500 dikenakan kepada mereka yang ingkar dan jumlah bayaran itu masih mempunyai pertimbangan atas budi bicara dengan pihak premis atau pesalah terbabit.

“Jika kompaun tidak dibayar dalam tempoh tujuh hari, MPKB-BRI akan mengeluarkan peringatan kepada premis, kemudian mengeluarkan surat, malah jika kesalahan berulang, tindakan lebih berat akan dikenakan termasuk tidak dibenarkan memperbaharui lesen.

"Tumpuan operasi kami adalah golongan remaja. Jadi, saya nasihatkan mereka supaya jaga tingkah laku di khalayak sebagai menghormati Kota Bharu Bandaraya Islam," katanya.