TUMPAT – Majlis Daerah Tumpat (MDT) akan mengerakkan Operasi Gempur Aurat Rabu ini bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita tanggungjawab menutup aurat.

Sebelum itu pelancaran Kempen Menutup Aurat disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi di pekarangan Pasar Wakaf Bharu.

Melalui operasi tersebut, premis perniagaan di sekitar Dun Wakaf Bharu, Dun Pasir Pekan, Kelaboran dan Pengkalan Kubor akan diperiksa agar pekerja premis mematuhi etika berpakaian.

Che Abdullah berkata, ini satu usaha berterusan kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan dan juga pimpinan setempat melaksanakan peraturan menutup aurat tersebut.

Menurutnya, selain operasi itu, kempen kesedaran mengenai tanggungjawab menutup aurat dalam kalangan wanita turut dipergiatkan.

“Ia kempen berterusan, bermula khutbah pada Jumaat lalu, ada dikupas tanggungjawab menutup aurat itu.

“Setiap program kerajaan negeri juga akan diselitkan tazkirah yang turut menyentuh isu menutup aurat ini,"  katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Menutup Aurat Peringkat Jajahan Tumpat.

Sempena pelancaran itu, 40 banting ‘Aurat Dijaga’ diedarkan ke masjid-masjid salah satu kempen meningkatkan kesedaran menutup aurat tersebut.

Hadir sama, Setiausaha MDT, Ahmad Munir Mohd Nasir dan Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Muhammad Derahman.

Pada pelancaran itu, turut diadakan ceramah agama  Aurat Saya Maruah Saya oleh penceramah Saibon Ismail.