KOTA BHARU - Kerajaan Pusat membelanjakan RM1.058 bilion bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di negeri ini sejak 12 tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
 
Berikutan itu beliau menyangkal dakwaan  sesetengah pihak bahawa kerajaan pusat menganaktirikan pembangunan di Kelantan. "Perbelanjaan bekalan air ini di Kelantan ada dua bentuk iaitu geran di mana kita menyediakan sumber air dan bekalan air itu diserahkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan pihak-pihak lain di negeri ini.
 
"Kita beri pinjaman kepada kerajaan negeri berjumlah RM597 juta dan yang lain-lain merupakan perbelanjaan kerajaan pusat yang mana setelah diselesai pembinaannya diserahkan kepada AKSB," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Liga Futsal Peringkat Kebangsaan Telekom Malaysia Bhd di KB Arena Futsal, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
 
Mustapa yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kerajaan negeri melalui AKSB diberi keistimewaan dalam menyelesaikan pinjaman RM597 juta itu apabila  tidak dikenakan sebarang faedah dan hanya perlu membayar
pinjaman pokok sahaja. 
 
Selain pinjaman, katanya kerajaan pusat melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan agensinya turut mencari dan membina sumber air baru dan menyerahkannya kepada AKSB setelah projek itu disiapkan. "Perbelanjaan ini untuk mencari dan membina sumber air serta membina loji malah membabitkan penyambungan dari loji ke rumah-rumah.
 
"Kebanyakan membabitkan pembinaan loji, umpamanya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sudah  membelanjakan RM347 juta dalam tempoh 12 tahun dan ini dalam bentuk geran," katanya. Mustapa berkata peruntukan bekalan air ke Kelantan dari Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) hingga RMK-10 mengikut kementerian adalah RM265 juta bagi bekalan air dan RM81.5 juta untuk naik taraf loji (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)), RM53.4 juta daripada Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) Kementerian Kesihatan Malaysia dan RM36.2 juta daripada Lembaga Kemajuan  Kelantan Selatan (Kesedar). 

Selain itu, RM597.8 juta pinjaman kepada kerajaan negeri yang dikawal selia oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau  dan Air,  RM2.5 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan RM22 juta untuk  loji rawatan air daripada Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER).
 
Beliau turut kecewa kerana kerajaan negeri Kelantan pimpinan  PAS masih gagal menyelesaikan masalah bekalan air bersih kepada  penduduk di negeri ini walaupun pelbagai kemudahan telah disediakan. "Barisan Nasional akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin jika dapat mengambil alih kerajaan negeri," katanya. -- Bernama