PASIR PUTEH - Perasaan mendamaikan pasti menusuk hati sejurus melangkah masuk ke rumah seorang pelukis mural sepenuh masa di Kampung Gong Chokoh, Sungai Petai, dekat sini.

Bakat seni dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghias rumah sendiri dengan menghasilkan kira-kira 100 lukisan dan lebih menarik rumah itu asalnya dibina dari bahan terbuang.

Ismail Hussin, 49, berkata, dia mula membina rumah itu pada tahun 1994 dengan menggunakan bahan yang dikutip dari kawasan pembinaan.

Katanya, dia tidak malu untuk memunggah serpihan kayu dan mozek dengan motosikal kerana impian memiliki rumah sendiri harus direalisasikan.

“Serpihan mozek menjadi lantai rumah saya, kayu daripada bakul anak ayam menjadi ruang udara, apa sahaja yang bahan yang saya kira sesuai, saya ambil dan bawa balik.

“Ketika itu rumah ini hanya satu bilik, kini ada tujuh bilik termasuk satu bilik di tingkat atas dengan kos keseluruhan hanya RM10,000 kerana saya hanya perlu membeli paku, simen dan zink.

“Setiap ruang di dalam rumah ini dihiasi lukisan yang saya hasilkan sendiri yang mana lukisan itu bersesuaian dengan ruang seperti lukisan buah-buahan untuk ruang dapur,” katanya.

Menurutnya, menghiasi rumah dengan lukisan menjadi rutin ketika tidak mempunyai projek melukis mural di sekolah, pejabat, chalet atau rumah individu.

Isteri dorongan utama

Bapa kepada enam anak berusia dari tujuh hingga 22 tahun ini berasa beruntung kerana dia mendapat dorongan baik isterinya, Anisah Yasin, 49.

Ismail yang lebih dikenali sebagai Abe Him berkata, dia membiayai pengajian dua anaknya di universiti dan empat anak di sekolah rendah dan menengah dengan menggunakan pendapatan hasil daripada melukis kerana dia tidak mempunyai pekerjaan lain.

“Tidak ramai yang memilih untuk menjadi pelukis sepenuh masa tapi saya yakin bakat yang dikurniakan ALLAH SWT ini menjadi sumber rezeki jika dimanfaatkan sebaiknya.

“Saya cuba mengikut trend semasa bagi memenuhi selera orang ramai dengan menghasilkan lukisan tiga dimensi (3D),” katanya yang juga berkemahiran bermain alat muzik seruling.

Di halaman ‘rumah seni’ itu, Abe Him membina satu wakaf dan satu ‘menara tinjau’ yang lazim digunakan anak-anaknya untuk berehat bersama rakan.

Menurut Abe Him, keunikan rumahnya itu menarik perhatian orang ramai malah ada ketikanya, dia menerima pengunjung yang tidak dikenalinya.

“Mungkin cerita mengenai rumah saya ini disebar melalui media sosial yang menyebabkan orang ramai berusaha datang untuk melihat sendiri, pada saya ia tidak menjadi masalah.

“Saya dibantu anak-anak membina bilik ruang dan bilik tambahan rumah ini secara beransur-ansur, setiap sudutnya juga akan saya hiaskan dengan lukisan,” katanya.