PASIR PUTEH - Gabungan Profesional Street Dakwah Kelantan menggerakkan dakwah secara profesional khususnya dalam usaha mengajak orang ramai menutup aurat.

Pengerusinya, Mohd Syafiq Mohamad Fadeli berkata, kempen Kelantan Cakna Aurat itu diadakan di lokasi tumpuan awam di seluruh negeri ini.

Katanya, peserta kempen memegang poster sebagai memberi peringatan kepada orang ramai agar sama-sama menutup aurat.

“Kita juga mengedar risalah khusus berkenaan aurat yang turut memaparkan kisah-kisah menarik tentang orang yang berhijrah ke arah kebaikan,” katanya.

Menurutnya, kempen itu setakat ini diadakan di Kota Bharu dan Pasir Puteh yang mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Mohd Syafiq yang juga seorang guru dan pakar motivasi berkata, Kelantan Cakna Aurat akan diteruskan ke daerah lain di negeri ini.

“Gabungan Profesional Street Dakwah Kelantan yang dianggotai ramai belia bergerak secara aktif dengan gandingan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di Kelantan.

“Dakwah secara santai ini cukup berkesan dan mendapat maklum balas memberangsangkan daripada masyarakat, orang ramai berharap aktiviti seperti ini diadakan lebih kerap supaya lebih ramai yang menerima mesej baik yang kita sampaikan,” katanya.