KOTA BHARU - Syarikat kontraktor, Chengal Jati Sdn Bhd yang memperoleh tender fasa 2A pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yakin mampu menyiapkan pembinaan tersebut lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Shaari Hassan berkata, mengikut terma kontrak, pihaknya akan memulakan pembinaan esok (22 April) dan mengambil masa tiga tahun sehingga 17 April 2018 bagi menyiapkan jajaran dari Kadok ke Ketereh sejauh tujuh kilometer.

“Saya yakin mengikut pengalaman dan prestasi sebelum ini kontrak ini akan dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh asal berakhir,” katanya selepas Mesyuarat Pra Pembinaan lebuh raya itu di Ketereh, baru-baru ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Cawangan Jalan Jabatan Kerjaraya, Datuk Hasnol Md Salleh. Difahamkan perasmian projek itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Shaari berkata, di sepanjang lebuh raya berkenaan akan dibina 10 jambatan merentasi tali air, jalan kampung dan Sungai Ketereh selain membina empat laluan bawah kenderaan.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran projek itu pula, kaedah komunikasi lebih sistematik digunakan pihaknya yang membolehkan kerja-kerja pengawasan dilakukan di mana sahaja walaupun berada di luar tapak pembinaan.

“Kita menggunakan walkie-talkie sebagai alat perhubungan antara satu sama lain, selain memasang 16 kamera di sepanjang projek berkenaan bagi memastikan kaedah pengawasan yang pertama kali digunakan ini benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM70,000 diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan CCTV selain RM30,000 bagi kemudahan Internet supaya kerja-kerja pengawasan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kemudahan ini juga akan membolehkan pihak-pihak berkenaan melihat perkembangan projek ini dalam waktu sebenar tanpa perlu berada di lokasi,” katanya yang dalam masa sama mahu membuktikan bahawa orang Melayu juga mampu melaksanakan projek-projek pembangunan dalam skala besar.

Beliau berkata, bagi memastikan projek dijalankan lebih terkedepan, pergerakannya dilakukan secara serentak apabila setiap bahagian dilakukan sekali gus tanpa melalui fasa-fasa tertentu.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banyak yang kita pelajari termasuk bagaimana untuk bergerak serentak, kerana ia memberi kemajuan yang lebih baik kepada projek dijalankan,” katanya.

Untuk rekod, fasa 2A adalah pakej kedua yang diluluskan perdana menteri dalam program jelajah janji ditepati Pilihan Raya Umum ke 13. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Perol kini sedang rancak dibina dan dijangka disiapkan pada 2017.

Dalam pada itu Shaari berkata, walaupun esok merupakan tarikh sebenar untuk memulakan projek berkenaan, namun pihaknya mengambil langkah awal dengan menempatkan kabin untuk kegunaan pihak pengurusan.

“Ini menunjukkan komitmen kami terhadap projek, insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pembinaan dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan ataupun lebih awal,” katanya.