KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya menumpas dua kumpulan penjenayah bersenjata parang dalam dua Ops Samun/Rentap berasingan di Bachok dan Kota Bharu di sini, kelmarin.
 
Serbuan pegawai dan anggota Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan itu berjaya menahan enam lelaki termasuk empat anggota Geng Parang manakala dua dari kumpulan Mark Connect yang juga serpihan geng Zawa, berusia antara 24 dan 39 tahun.
 
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dengan tangkapan dalam tempoh kurang 36 jam itu, pihak polis berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun bersenjata di negeri ini.
 
“Geng Parang baru seminggu aktif serta bertindak agresif dengan menyamun lima premis selang 20 minit dalam tempoh dua jam sekitar Jeli, Tanah Merah, Kota Bharu dan Machang.
 
“Mereka masuk ke premis dan seolah-olah mahu menetak mangsa sebelum merampas barang berharga,” katanya ketika sidang media di IPK Kelantan di sini, semalam.
 
Katanya, polis turut merampas Proton Waja yang dilaporkan hilang di Tanah Merah.
 
“Selain nombor plat palsu, kami turut menemui senjata pedang, pisau, sabit, gunting, kelewang serta topeng muka yang dipakai suspek orang tempatan ini.
 
“Anggaran kerugian dialami mangsa termasuk pemilik kedai runcit, kedai kek, pusat kecantikan serta kedai pengantin yang menjadi sasaran mereka ini berjumlah RM20,000,” katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.

Sementara itu, empat anggota Geng Parang terbabit yang dikaitkan dengan 10 jenayah samun bersenjata di sekitar negeri ini dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Kota Bharu di sini, semalam.
 
Reman empat hari dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Khas Trafik, Amni Mat Jahari bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut.
 
Reman terbabit berkuat kuasa semalam sehingga 10 Disember. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
 
Dalam perkembangan lain, sekumpulan lagi penjenayah yang menggelar diri mereka Mark Connect juga dikenakan reman dalam tempoh dan seksyen yang sama.